suria

Tiga Sindiket Curi Kereta Tumpas, Polis Tahan 23 Suspek

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket curi kereta mewah yang beroperasi di sekitar Lembah Klang ekoran penahanan 23 suspek dalam beberapa serbuan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis turut merampas 15 kenderaan dipercayai kenderaan curi, dan 1,603 komponen alat ganti yang semuanya bernilai lebih RM30 juta dalam serbuan menerusi Operasi Lejang Khas itu.

Beliau berkata polis percaya dapat menyelesaikan 261 kes jenayah ekoran penangkapan itu, dan menurutnya semua suspek kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga sindiket itu tidak mempunyai sebarang hubungan," katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Merujuk kepada sindiket pertama Mohd Bakri berkata polis menahan 12 suspek yang berumur antara 30 dan 60 tahun, dan merampas enam kenderaan mewah yang dipercayai kereta curi, antaranya kereta-kereta keluaran Toyota, BMW serta Mercedes Benz, yang berharga kira-kira RM4.5 juta.

Katanya polis sedang berusaha mengesan dalang sindiket curi kereta mewah itu yang dipercayai mula beroperasi sejak bulan Mei tahun lepas.

Beliau berkata sindiket itu juga dipercayai terbabit menghantar kereta curi ke luar negara menerusi Pelabuhan Klang, dan siasatan mendapati kira-kira 213 kereta dihantar ke luar negara dengan kontena melalui pelabuhan itu.

Sementara itu merujuk kepada sindiket kedua Mohd Bakri berkata polis merampas dua kereta mewah yang dipercayai kereta curi dan menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup kereta melalui sempadan utara negara.

Katanya hasil siasatan mendapati sindiket itu terlibat dalam 47 kes kecurian kereta mewah, dan 45 daripada kereta itu diseludup ke negara jiran.

Merujuk kepada sindiket ketiga pula Mohd Bakri berkata polis berjaya menyelesaikan 250 kes kehilangan kenderaan di sekitar Lembah Klang ekoran penahanan enam lelaki dan rampasan 1,603 komponen alat ganti bernilai kira-kira RM5 juta.

Beliau berkata polis turut merampas enam kenderaan daripada sindiket itu yang dipercayai kenderaan curi.

"Modus operandi sindiket ini ialah mencuri kenderaan dan meleraikannya untuk membekalkan komponen kenderaan secara pasaran gelap kepada bengkel-bengkel tempatan," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain