suria

Shaharuddin Tamby Tak Setuju Permohonan Cerai Isteri

KUALA LUMPUR: Pelakon Shaharuddin Tamby tidak bersetuju dengan permohonan cerai yang difailkan oleh isterinya kerana mendakwa wanita tersebut mengalami gangguan emosi selepas menjalani pembedahan bagi kanser rahim.

Shaharuddin, 54, berkata, kanser itu telah berada di peringkat bahaya dan satu pembedahan dilakukan terhadap isterinya, Nor’aini Muhammad, 51, bagi mengelakkan ia merebak.

“Doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ada menasihatkan saya bahawa akan berlaku perubahan emosi yang ketara dan saya harus bersabar.

“Saya banyak bersabar kerana apa yang diberitahu tentang perubahan emosi itu nyata terjadi,” katanya dan menambah, dia sayangkan isteri yang menjadi teman hidupnya sejak 33 tahun lalu.

Pelakon yang membuat penampilan khas dalam filem Apa kata hati itu juga memberitahu, Nor’aini masih perlu menjalani rawatan susulan di hospital untuk memastikan kanser tersebut tidak kembali semula.

“Tapi isteri saya tidak mahu sangat makan ubat dan doktor sendiri telefon rumah saya bertanyakan kenapa dia tidak membuat rawatan susulan,” tambahnya.

Shaharuddin atau nama sebenarnya Shaharuddin Tambi berkata demikian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada Isnin.

Pasangan tersebut berkahwin pada 25 November 1978 di Kuala Lumpur dan dikurniakan tiga anak, termasuk dua yang telah mendirikan rumah tangga.

Nor’aini selaku plaintif pula memberitahu, dia memohon cerai kerana tiada persefahaman dan mendakwa dirinya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Sebenarnya saya tiada apa-apa. Kalau boleh suami saya nak kata saya tidak betul,” katanya.

Wanita bertubuh kurus itu juga memberitahu, mereka pernah bercerai pada 7 Ogos 1984 sebelum kembali rujuk pada keesokan harinya.

Dia juga mengakui mereka tidak sebilik walaupun masih tinggal serumah.

Nor’aini yang mendakwa masalah dalam perkahwinannya berlaku secara on dan off juga memberitahu, kejadian terbaru melibatkan menantunya.

Bagaimanapun, Shaharuddin yang memakai baju kemeja biru kotak-kotak dan bersongkok menjelaskan dakwaan tersebut dengan berkata:

“Sebenarnya berlaku satu pergaduhan antara anak saya dan menantu. Saya nak menyelamatkan suasana dan saya marahkan anak saya kerana berpendapat lelaki kena lebih bertanggungjawab.

“Waktu itu menantu saya telan lima biji pil stress dan waktu saya nasihatkan, dia telan lagi lima biji. Bila keluar, dia dalam keadaan lemah dan jatuh.

“Saya cakap, ini tak boleh jadi dan kita kena bawa dia ke hospital. Saya dan anak saya papah menantu turun dari tingkat lima tanpa lif. Di sinilah isteri kata, saya lebihkan menantu,” katanya.

Selepas mendengar keterangan pasangan tersebut, Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menasihatkan mereka untuk berbincang dan mengikuti kauseling bagi mencari penyelesaian masalah rumah tangga tersebut.

“Sepatutnya pada usia begini, kamu beribadat bersama, melancong atau menjaga cucu bersama-sama,” katanya dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Jun depan.

Nor’aini kelihatan tidak menyenangi kehadiran wartaman di mahkamah manakala Shaharuddin memohon maaf kerana enggan mengulas atas alasan perlu menjaga hati isterinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain