suria

Skim Takaful Untuk Jemaah Haji, Umrah Dikaji Ganti Deposit Agensi Pelancongan

(Duduk dari kiri) Abdul Khalid Salleh dan Mohd Khalid menandatangani MoU sambil disaksikan oleh (berdiri dari kiri) Ketua, Korporat & Pembrokeran, Hong Leong Tokio Marine Takaful, Zainal Abidin Aziz dan Naib Presiden (Outbound) MATTA, Jeffri Sulaiman. - Foto THE STAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Agensi pelancongan yang menguruskan umrah dan ibadat haji di negara ini berkemungkinan tidak perlu menyediakan deposit berjumlah RM100,000 sekiranya Kementerian Pelancongan menerima skim takaful sebagai suatu jaminan perlindungan kepada para jemaah.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya sedang berunding dengan kementerian untuk mengkaji sama ada perkara itu boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Buat masa ini, Kementerian Pelancongan di bawah Seksyen 6(1A), Akta Industri Pelancongan 1992 mewajibkan mereka yang mengerjakan haji dan umrah supaya mempunyai perlindungan takaful yang sah.

Katanya, hasil rundingan dijangka diketahui pada bulan Jun ini.

"Takaful ialah suatu bentuk jaminan yang sangat selamat dan oleh itu, ia merupakan suatu medium perundingan yang sangat baik (dengan pihak kementerian)," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Skim Takaful MATTA Hajj & Umrah, Jumaat.

MATTA memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad untuk mengeluarkan Skim MATTA Hajj & Umrah Takaful.

Objektif Skim Takaful MATTA Hajj & Umrah ialah menyediakan perlindungan insurans yang mencukupi untuk rakyat beragama Islam mengerjakan haji dan umrah.

MATTA diwakili Mohd Khalid sementara Pengurus Besar, Channel Management, Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad, Abdul Khalid Salleh mewakili syarikat insurans.

Mohd Khalid menegaskan, ahli-ahli MATTA yang berlesen sahaja dibenarkan menjual produk tersebut demi kepentingan orang ramai.

Sementara itu, Abdul Khalid memberitahu, skim yang diperkenalkan tersebut satu-satunya pelan takaful yang diperkenalkan untuk para jemaah mengejarkan ibadat tersebut buat masa ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan skim takaful tersebut meraih jualan sebanyak RM2 juta untuk peringkat permulaan.

Tambahnya, skim perlindungan insurans tersebut merangkumi 11 elemen yang diwajibkan oleh Kementerian Pelancongan dalam mana-mana produk insurans seumpama itu.

Elemen-elemen tersebut merangkumi penghantaran balik jemaah (ke negara asal) atas sebab kecemasan, pembayaran balik deposit atau bayaran penuh tiket penerbangan atau pakej pelancongan sekiranya agensi terbabit di negara ini dibubarkan.

Lain-lain elemen termasuk elaun pengebumian, kehilangan dokumen pelancongan, repatriasi mayat, faedah lawatan ihsan, kematian ekoran kemalangan, kecacatan anggota badan seumur hidup, talian kecemasan 24-jam serta lain-lain perbelanjaan perubatan.

Skim Takaful MATTA Hajj & Umrah diperkenalkan dalam tiga pelan iaitu Pelan Asas, Pelan Premium dan Pelan Premium Plus. Harga caruman takaful tersebut adalah serendah dari RM40.

Artikel Lain