Saya Bukan Mahu Berlakon Tapi Bersihkan Nama - Hishamuddin - Semasa | mStar

Saya Bukan Mahu Berlakon Tapi Bersihkan Nama - Hishamuddin

KUALA LUMPUR: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Hishamuddin Hassim berkata kehadiran beliau dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock adalah untuk membersihkan nama SPRM dan bukan mahu 'berlakon'.

Hishamuddin berkata tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengada-adakan cerita, sebaliknya tujuan beliau memberi keterangan adalah untuk membantu suruhanjaya itu menambah baik SPRM.

"Saya bekerja keras dalam penyiasatan kerana ia telah diamanahkan oleh rakyat, dan menjadi prinsip pihak SPRM untuk melakukannya secara adil, tegas dan amanah," katanya ketika disoal Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Beliau juga disoal peguam Cheow Wee dari Majlis Peguam mengenai tindakan terhadap pegawai bawahan yang didakwa menggunakan kekerasan atau ugutan terhadap saksi atau suspek semasa sesi temu bual atau soal siasat.

"Saya akan menegur supaya mereka menitikberatkan soal keselamatan dan imej jabatan, dan teguran itu tidak ubah seperti 'seorang bapa menegur anaknya' kerana saya menganggap orang bawahan seperti adik-adik saya sendiri.

"Saya juga akan mengingatkan mereka rakyat melihat segala perbuatan kita, dan meminta agar semua pegawai SPRM berhemah dalam menjalankan tugas," katanya.

Kepada soalan lain, Hishamuddin berkata SPRM menggunakan kaedah berhemah ketika menemu bual saksi dengan meminta mereka menjelaskan apa-apa maklumat sesuatu kes, manakala untuk suspek, ia lebih menjurus kepada siasatan bagi mengetahui kemungkinan terdapat orang lain atau dokumen yang terlibat.

Bagaimanapun, beliau menafikan SPRM menggunakan teknik lain seperti menyuruh saksi atau suspek berdiri sepanjang masa sesi temu bual atau soal siasat di bilik gelap, serta menendang kerusi atau meja untuk menakutkan saksi atau suspek.

Saksi ke-26 itu, yang merupakan bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, berkata pihaknya tidak membuat laporan polis berhubung kematian Teoh kerana ia sudah dilakukan oleh orang awam.

"Saya difahamkan polis telah membuat siasatan berhubung kes ini, jadi satu laporan polis sudah memadai untuk pihak polis membuka kertas siasatan," katanya yang turut menafikan SPRM ingin lepas tangan berhubung insiden itu.

Hishamuddin juga tidak bersetuju dengan cadangan Cheow Wee bahawa laporan polis tidak dibuat kerana beliau memerlukan masa untuk menyelaraskan cerita berhubung kematian Teoh.

Katanya, beliau ada mengarahkan pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail dan Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Hairul Ilham Hamzah, yang juga Ketua Unit Siasatan, supaya membuat laporan polis pada hari kejadian (16 Julai 2009).

Bagaimanapun, beliau berkata laporan itu tidak sempat dibuat kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM Ibu Pejabat Putrajaya Datuk Abu Kasim Mohamed datang ke SPRM Selangor untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian tersebut.

"Ketika itu, Mohd Anuar dan Hairul Ilham sudah berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk membuat laporan, tetapi saya mengarahkan mereka pulang segera ke pejabat SPRM untuk memberi penjelasan mengenai kematian Teoh kepada Datuk Abu Kasim.

"Datuk Abu Kasim ingin tahu keadaan sebenar mengenai kejadian itu dan hanya mereka berdua yang dapat menjelaskannya," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding bersambung petang ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain

Guardiola bakal tinggalkan City?