suria

NKRA Pendidikan: Prasekolah Luar Bandar Masih Perlu Tumpuan

PUTRAJAYA: Dua tahun selepas diumumkan dengan pelaksanaannya rancak sejak tahun lalu, sektor pendidikan yang merupakan antara enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menampakkan perubahan positif.

Berdasarkan Laporan Ekonomi 2010/2011, sasaran empat sub-bidang iaitu memantapkan pendidikan prasekolah; meningkatkan kadar literasi dan numerasi (Linus); membangunkan sekolah berprestasi tinggi; dan bai'ah baru kepada guru hampir dicapai.

Di bawah pendidikan prasekolah misalnya, Laporan itu menyatakan sehingga Ogos lepas kira-kira 72 peratus kanak-kanak berusia empat dan lima tahun telah berdaftar di prasekolah, sementara 2,060 guru prasekolah telah dilatih.

Kadar Linus pada kalangan murid Tahun Satu pula akan dipertingkat kepada 90 peratus berbanding 35 peratus kadar literasi dan 45 peratus kadar numerasi pada 2009.

Sambil mengakui usaha kerajaan itu membawa impak positif, beberapa persatuan berkaitan berpandangan masih ada ruang penambahbaikan khususnya dalam sub-bidang prasekolah dan bai'ah kepada guru.

Menyentuh institusi prasekolah, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohamad Ali Hassan berkata kerajaan harus memberi tumpuan yang lebih kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

"Institusi prasekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman masih jauh ketinggalan berbanding yang di bandar sedangkan ia sepatutnya perlu selari.

"Perkara itu merangkumi semua iaitu prasarana dan juga tenaga pengajar. Tenaga pengajar mestilah mereka yang terlatih kerana matlamat kita adalah untuk memberikan pendidikan yang sempurna serta sama rata untuk semua," katanya.

Selain itu, Mohamad Ali juga berpandangan aspek kurikulum di prasekolah kerajaan dan swasta harus diselaraskan.

"Jika dilihat sekarang ada prasekolah yang disediakan badan bukan kerajaan atau parti-parti politik tidak sama, yang adakalanya tidak memenuhi piawaian citarasa negara terutamanya dalam aspek intergrasi nasional," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng, berasakan syarat kemasukan ke prasekolah perlu dilonggarkan dan tidak bersandarkan kepada pendapatan ibu bapa.

"Selain memastikan setiap sekolah disediakan kemudahan prasekolah, kelas- kelas di prasekolah sedia ada juga perlu ditambah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.

Mengenai bai'ah atau insentif kepada guru pula, Mohamad Ali berkata kumpulan kepimpinan bukan guru juga harus diberi penghargaan terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pendidikan di sekolah seperti PIBG.

"Kriteria dan ciri-ciri mereka yang dipilih perlu lebih telus serta terbuka. Pemilihan bukan hanya kepada pencapaian akademik sebaliknya merangkumi semua aspek seperti pencapaian disiplin, akhlak, serta khidmat kepada masyarakat.

"Mereka yang dilantik ke dalam panel pemilihan juga perlu dimaklumkan kepada umum," katanya yang tidak menafikan pemberian ganjaran itu adalah wajar sebagai suntikan semangat kepada guru untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

Beliau juga menyarankan kepada kerajaan agar menawarkan ganjaran bukan kewangan seperti peluang melanjutkan pelajaran kepada mereka yang terpilih.

"Mereka yang dipilih cemerlang juga boleh dijadikan mentor kepada sekolah kurang maju. Mereka boleh bertindak sebagai pembimbing untuk memastikan kejayaan bersama dapat dicapai," katanya.

Lok pula berpendapat kriteria pemilihan perlu dikaji semula dan dibuat mengikut kategori memandangkan sistem di negara ini mempunyai kumpulan sekolah berbeza.

"Mungkin boleh diwujudkan pemberian anugerah mengikut kategori seperti sekolah berasrama penuh, sekolah harian, sekolah dalam bandar dan sekolah luar bandar," katanya.

Lok turut meminta kerajaan memberi perhatian kepada sekolah kurang murid yang padanya masih memerlukan pelbagai galakan. - BERNAMA

Artikel Lain