suria

Zahid Yakin BN Akan Terus Dapat Sokongan Padu Rakyat Serawak

BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sokongan padu rakyat pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang bakal diadakan.

Beliau berkata ini kerana kerajaan yang diterajui BN mampu membawa pembangunan untuk kesejahteraan negeri itu dan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN telah berjanji untuk membawa perubahan daripada segi pembangunan di Sarawak dan setakat ini sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan bagi pembangunan negeri berkenaan, katanya.

Hubungan erat yang terjalin antara kerajaan negeri Sarawak dan persekutuan akan terus memberi manfaat kepada penduduk negeri itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno Bahagian Bagan Datoh di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan pengundi di Sarawak supaya jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang untuk mengubah selera kerana ia akan membawa padah seperti yang dialami oleh negeri yang dikuasai oleh pembangkang selepas pilihan raya umum lepas.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud Taib mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubar esok bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain