suria

Dua Lagi Pelatih Inspektor Wanita Dimasukkan Ke HKL Pada Ahad

KUALA LUMPUR: Dua pelatih inspektor wanita dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini selepas dipercayai mengalami jangkitan virus 'Adenovirus', menjadikan jumlah pelatih dan kakitangan Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang dirawat di hospital itu kini 31 orang.

Komandan Pulapol SAC Zulkifli Mohamed berkata daripada jumlah itu dua pelatih lelaki ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Seramai 15 orang lagi adalah pelatih inspektor lelaki dan 10 pelatih inspektor wanita. Selebihnya tiga pelatih konstabel lelaki dan seorang kakitangan Pulapol," katanya pada Ahad.

Beliau berkata jumlah pengasingan berkurangan kepada 583 orang iaitu 234 pelatih inspektor wanita, 251 pelatih inspektor lelaki, 90 pelatih konstabel lelaki dan lapan kakitangan.

Virus itu, yang dikesan pada 4 Mac lepas, menyebabkan seorang pelatih di institut itu Mohd Azizan Azizi, 21, dari Kuala Kangsar, Perak, meninggal dunia di HKL Selasa lepas.-BERNAMA

Artikel Lain