suria

Cabaran Dan Isu Air Perlu Ditangani Sebaik Mungkin

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu segala cabaran dan isu yang berkaitan dengan air ditangani sebaik mungkin bagi memastikan nikmat sumber kehidupan itu dapat dinikmati untuk jangka masa panjang.

Perdana Menteri berkata cabaran dan isu berkaitan air terbahagi kepada tiga kategori, air yang berlebihan yang mengakibatkan bencana banjir, kekurangan air sehingga berlakunya kemarau dam kuantiti air akibat pencemaran yang berpunca daripada perubahan cuaca dan pemanasan global.

"Saya ingin mengingatkan kementerian dan jabatan berkaitan supaya memberi perhatian serius dan melihat apa yang sedang berlaku di dunia dan di negara ini sebagai satu cabaran besar untuk ditangani.

"Ini kerana impak daripada perubahan iklim ini dapat dikesan lebih awal dan kita mampu menyediakan pelan tindakan agar keadaan terkawal walaupun apa pun berlaku," katanya berucap merasmikan Program Sambutan Hari Air Sedunia di sini Sabtu.

Dalam menghadapi isu itu, beliau berkata kerajaan melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara pada tahun lepas yang mengandungi pelbagai strategi dan pelan tindakan bagi mengurangkan impak perubahan iklim kepada negara.

Beliau berkata ini juga kerana kerajaan amat perihatin kepada keperluan generasi akan datang dan langkah serius perlu diambil.

Najib juga berkata kajian sedang dilakukan dalam tempoh terdekat ini bagi menggubal Rang Undang-undang Dasar Sumber Air Negara dan keseluruhan institusi sumber air negeri bagi memastikan pengurusan sumber air yang lebih bersepadu dan berkesan.

"Justeru, urus tadbir sumber air di peringkat persekutuan dan negeri perlu dilakukan lebih bersepadu untuk menjamin keperluan sumber air kepada negara sentiasa mencukupi dan mematuhi piawaian kualiti air yang ditetapkan," katanya.

Selain itu, katanya usaha terancang dibuat bagi mencari dan membangun sumber air alternatif seperti sumber air bawah tanah, kolam takungan, air hujan dan kegunaan semula air.

"Kita juga sudah mengambil langkah untuk menstruktur industri bekalan air, melalui pengurusan air berpusat supaya pengendali bekalan air dapat beri tumpuan khusus kepada perkhidmatan bekalan air kepada rakyat", kata beliau.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Uggah Embas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain