suria

10 Srikandi ATM Teruskan Misi Di Lubnan

KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berkhidmat lebih empat bulan di Lubnan di bawah Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) bagi menggantikan kumpulan pertama 10 anggota wanita yang menyertai misi sebelum ini.

Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Wira Jamil Osman berkata kumpulan kedua wanita itu, yang akan berlepas ke Lubnan pada 14 Mac ini, telah menjalani latihan integrasi pasukan (FIT) selama tiga bulan di 1 KAD, Kem Batu 10, Kuantan.

Beliau berkata mereka akan menggantikan kumpulan pertama 10 anggota wanita MALCON II yang bertugas di negara itu sejak 28 Oktober tahun lepas yang dijangka kembali ke tanah air, Selasa depan.

Berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Wanita Kedua Malcon East 5 itu di Kementerian Pertahanan di sini Jumaat, beliau berkata kumpulan itu akan melaksanakan tugas di Sektor Timur Kawasan tanggungjawab UNIFIL, selatan Lubnan di bawah Resolusi 1701 PBB.

"Saya yakin persiapan rapi dan latihan integrasi yang telah mereka jalani sebelum ini akan dapat membantu anggota wanita ini dalam mengharungi sebarang kemungkinan yang akan dihadapi ketika di Lubnan," katanya.

Sementara itu ketua kumpulan terbabit, dari Skuadron Semboyan Diraja, Tentera Darat, Kapten Siti Aminah Mohd Sharif berkata kumpulan kedua ini terdiri daripada seorang pegawai dan sembilan anggota wanita lain-lain pangkat (LLP).

"Mereka ini dipilih daripada tiga cabang ATM iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat bagi menggalas tanggungjawab yang telah diberi kali ini," kata Siti Norhajar.

"Sebagai pegawai kepada anggota-anggota yang lain, saya bertanggungjawab memastikan kebajikan dan kesihatan mental dan fizikal anggota saya terjaga sepanjang tempoh kami berada di sana," katanya yang akan bertindak sebagai pegawai komunikasi untuk kontinjen Malaysia ketika di Lubnan nanti. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain