suria

Umno Cawangan Dan Sokongan Kaum Tentu Kemenangan PRK

PEKAN: Kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) banyak dibantu oleh peranan yang dimainkan oleh Umno cawangan dan sokongan daripada semua kaum yang diberikan kepada parti itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekiranya sesebuah Umno cawangan itu berada dalam keadaan kukuh dan aktif dalam memainkan peranannya, Umno dan kerajaan itu sendiri akan dilihat sebagai tunggak yang sentiasa mendekati hati rakyat.

"Peranan cawangan Umno dalam struktur bahagian kita merupakan barisan yang paling hadapan sekali dengan interaksi dengan pengundi dan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan persidangan berkelompok Cawangan Umno Pekan di sini, pada Sabtu. Beliau berkata selain peranan Umno cawangan, sokongan tinggi yang diberikan oleh semua kaum kepada BN juga banyak menyumbang kepada kemenangan PRK seperti di Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau baru-baru ini.

Dengan mengambil contoh PRK Kerdau yang diadakan 6 Mac lepas, Najib berkata selain undi kaum Melayu yang semakin kukuh dan mantap, undi kaum Cina dan India juga turut meningkat jika dibandingkan dengan sokongan yang diberikan mereka pada pilihan raya umum 2008.

"Tiga tahun lalu apabila kita telah ditimpa tsunami politik, nampaknya orang Melayu adalah antara mereka yang tidak sokong kita, telah kembali ke pangkuan kita dan sokong Umno di Kerdau, ini dapat dilihat bila keputusan kita pada 2008 di mana kita dapat majoriti 1,000 lebih, 2004 pula majoriti di Kerdau cecah 2,600 tapi PRK kali ini majoritinya melebihi 2,700.

"Di luar bandar kita lihat masyarakat kaum Cina juga telah sokong kita dan sokongan kaum India juga sudah yakin dengan BN dengan sokongan mencecah 70 peratus, begitu juga dengan masyarakat Orang Asli yang masih lagi merupakan penyokong setia dan kuat Umno," kata beliau.

Najib berkata Umno bagaimanapun tidak boleh memandang ringan pada ancaman luar seperti pembangkang walaupun sokongan kuat rakyat diberikan kepada Umno tanpa berbelah bagi.

Sebaliknya strategi perlu sentiasa diatur untuk mengekalkan kedudukan Umno dan BN, tegas beliau.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diberikan keutamaan pada setiap pilihan raya adalah pemilihan calon yang tepat untuk mewakili rakyat iaitu hanya meletakkan calon yang boleh menang.

"Sebahagian pengundi sokong pembangkang berdasarkan pada calon tapi kita berada dalam zaman berbeza dengan zaman 70-an, 80-an dan 90-an yang hanya beri tumpuan kepada calon semata-mata, tanpa melihat alternatif lain tapi kini rakyat mahu kriteria calon memenuhi pilihan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain