suria

Dewan Rakyat: Naikkan Harga Skim Rumah Pertamaku RM300,000

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan Skim Rumah Pertamaku dengan menaikkan tawaran harga rumah sehingga RM300,000 bagi membolehkan golongan muda memiliki kediaman sendiri.

Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) berkata, langkah meningkatkan tawaran harga berkenaan sesuai dengan harga pasaran satu unit rumah terutamanya di kawasan bandar.

"Tindakan kerajaan memberi tawaran melalui Skim Rumah Pertamaku adalah sangat baik terutamanya bagi memberi peluang kepada golongan muda untuk memiliki rumah sendiri.

"Tapi saya fikir adalah lebih baik jika harga berkenaan dinaikkan sehingga RM300,000 kerana rata-rata harga rumah teutamanya di kawasan bandar melebihi RM200,000," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di sini, Khamis.

Selasa lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan Skim Rumah Pertamaku bagi membolehkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dan berpendapatan kurang RM3,000 sebulan memiliki rumah sendiri berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.

Skim tersebut memberi kemudahan pinjaman 100 peratus kepada pembeli tanpa perlu membayar wang deposit sebanyak 10 peratus seperti kebiasaan prosedur pembelian rumah.

Artikel Lain