Cubaan Seludup Heroin Bernilai RM40,000 Tumpas

KUALA LUMPUR: Cubaan menyeludup heroin seberat 1.4kg, yang dianggarkan bernilai RM40,000 menggunakan khidmat penghantaran bungkusan ke luar negara, tumpas apabila pekerja syarikat tersebut mengesan dadah itu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata dua lelaki warga Afrika datang menghantar dadah itu yang dimasukkan ke dalam dua bungkusan dan dialamatkan ke sebuah wilayah di China.

Beliau berkata bungkusan pertama dirampas pada Sabtu lepas kira-kira 2.30 petang membabitkan bungkusan yang mengandungi sebuah beg tangan serta beberapa dompet duit.

"Setelah diperiksa, terdapat satu bungkusan heroin yang dibalut dengan kertas timah dalam beg tangan terbabit serta bungkusan-bungkusan nipis mengandungi dadah yang disisip dalam dompet duit seberat kira-kira 1kg," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Selasa.

Abd Razak berkata rampasan kedua pula dibuat kira-kira 11.45 pagi ini membabitkan dadah seberat 400gm yang dibungkus dalam kotak.

Polis sedang menyiasat identiti kedua-dua lelaki tersebut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di syarikat penghantaran itu. -BERNAMA

Artikel Lain