suria

Diberi Pangkat Sarjan Jika Ada Diploma - KPN

KUALA TERENGGANU: Mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan diploma akan ditawarkan pangkat Sarjan jika menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di masa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata ia merupakan skim baru untuk PDRM menarik minat anggota masyarakat terutama golongan muda menyertai pasukan tersebut.

"Ini salah satu skim baru yang akan kita perkenalkan iaitu kelulusan minimum untuk masuk dalam perkhidmatan polis bagi pangkat Sarjan ialah diploma.

"Menerusi skim baru ini juga, kenaikan pangkat juga akan lebih cepat. Kita mempermudahkan, umpamanya Konstabel untuk naik ke pangkat Koperal, Insya-Allah dalam masa lima tahun. Kalau dulu ada sampai 10 tahun, 15 tahun ada yang pencen pun masih Konstabel lagi.

"Begitu juga pangkat-pangkat lain. Kita nak ubah (skimnya)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, Sabtu. Ismail juga berkata PDRM memerlukan para pegawai yang bertenaga serta berpengetahuan tinggi dalam penyiasatan agar kualiti siasatan sesuatu kes lebih efektif.

"Skim baru ini diperkenalkan selaras dengan hasrat PDRM mensasarkan kekuatan anggota seramai 150,000 orang menjelang 2015," katanya.

Pada majlis tersebut, lima kakitangan UMT dengan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Yahaya Ibrahim menerima pangkat daripada Ismail.

Kor Suksis UMT yang secara rasmi ditubuhkan pada 24 Julai 2006 mempunyai keanggotaan 282 orang pelajar dan daripada jumlah tersebut seramai 70 orang telah ditauliahkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain