suria

Dunia Hantar Pasukan Bantuan Bencana Ke Jepun

GENEVA: Masyarakat antarabangsa mula menghantar pasukan bantuan bencana pada Sabtu untuk membantu Jepun selepas dilanda gempa bumi kuat dan tsunami, manakala Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula menghantar satu pasukan untuk membantu mengkoordinasikan tugas-tugas.

“Kami dalam proses menghantar 9 orang pakar yang paling berpengalaman menangani malapetaka. Mereka akan membantu menganggarkan keperluan dan mengkoordinasikan bantuan dengan pihak berkuasa Jepun,” kata Elisabeth Byrs, jurucakap Pejabat PBB mengenai Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Pasukan bantuan bencana PBB termasuk beberapa orang jurucakap Jepun dan seorang pakar alam sekitar, katanya.

Satu letupan memusnahkan bumbung sebuah kilang reaktor nuklear di utara Tokyo, pada Sabtu, mencetuskan kebimbangan tentang peleburan radioaktif yang membahayakan.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano memberitahu bahawa satu kebocoran radiasi berlaku di kilang kuasa nuklear Fukushima Daiichi milik Tokyo Elektric Power Co (TEPCO).

Gempa bumi berukuran 8.9 – paling kuat dicatatkan di Jepun – mencetuskan tsunami setinggi 10 meter melanda bandar-bandar di seluruh kawasan pantai timur laut Jepun pada Jumaat. Media Jepun menganggarkan sekurang-kurang 1,300 orang tebunuh.

PBB mengumumkan lewat Jumaat bahawa empat pasukan pencari dan penyelamat asing (Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat) sedang dalam perjalanan selepas menerima permintaan bantuan dari Jepun.

Singapura turut menghantar pasukan pencari dan penyelamat urban ke Jepun pada Sabtu, manakala Switzerland mengumumkan akan menghantar lebih kurang 25 pakar penyelamat dan perubatan serta pasukan anjing pengesan. Britain juga mengesahkan akan menghantar bantuan selepas menerima permintaan daripada Jepun.

Pasukan penyelamat Switzeraland akan mengetuai pasukan mencari mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan akibat tsunami, kata Toni Frisch, Ketua Unit Bantuan Kemanusiaan Swiss.

Unit Swiss itu adalah sebuah kor militia yang dianggotai sekurang-kurang 700 ahli yang bersiap sedia untuk dihantar bertugas, masing-masing mempunyai kepakaran di bidang kejuruteraan, seismologi, telekomunikasi dan peperangan. - Reuters

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain