suria

Najib Mahu Syarikat Tempatan Cipta Produk Inovatif Belum Ada Di Dunia

AYER KEROH: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu syarikat-syarikat tempatan mencetuskan idea untuk menghasilkan produk inovatif yang belum ada di dunia.

Beliau berkata kejayaan Mrails International Sdn Bhd, yang berjaya mencipta trem menggunakan gas asli sebagai tenaga penggerak, perlu dijadikan contoh.

"Walaupun produk ini dibangunkan bersama rakan niaganya di China, namun teknologi yang digunakan adalah hasil cetusan idea rakyat Malaysia," kata Najib semasa merasmikan majlis pecah tanah Projek Trem Melaka,,di sini, Sabtu.

"Dalam mengejar pembangunan, kita mesti mencipta produk yang mesra alam supaya dapat mencapai pembangunan mampan serta pelepasan karbon yang rendah," kata Perdana Menteri.

Melaka Tram dilaksanakan hasil perjanjian antara Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) dan Mrails pada Mac tahun lepas.

Menerusi perjanjian itu, syarikat bersetuju untuk mereka bentuk, membina, mengurus dan menyelenggara serta memantau operasi landasan dan "tramcar" selama 25 tahun, selain membiayai kos projek yang bernilai RM272 juta.

Mrails yang mengunjurkan sekurang-kurangnya 40,000 pengguna sehari, akan memastikan tambangnya rendah iaitu RM2 dan percuma untuk golongan kurang upaya dan pelajar.

Sementara itu, Najib berkata trem yang dibangunkan oleh Mrails sememangnya bersesuaian digunakan di Melaka berdasarkan pertumbuhan ekonomi serta pelancongan yang pesat di negeri itu.

Beliau berkata selain menikmati kesan ekonomi yang positif sebagai negeri yang maju, kedatangan pelancong asing dan tempatan juga dijangka meningkat kepada 12 juta tahun ini berbanding 10 juta tahun lepas.

"Kerajaan pusat akan terus memberikan perhatian terhadap Melaka bagi menambah baik keperluan dari semasa ke semasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain