suria

Rakyat Miri Terima Penghormatan Jadi Tuan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

MIRI: Ahad ini (6 Feb) bakal menjadi titik bersejarah warga bandar raya Miri apabila mereka menjadi tuan rumah acara majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2011.

Majlis peringkat kebangsaan ini juga merupakan kali pertama pernah diadakan di luar Semenanjung Malaysia dan ini menjadi satu kesempatan untuk rakyat Sarawak diberi penghormatan menganjurnya.

Penduduk di sini sudah teruja sejak pengumuman Miri menjadi tuan rumah itu dibuat oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, pada 24 Jan lepas.

Kegembiraan menerima penghormatan ini bukan hanya dirasai masyarakat Cina Miri, malah kaum lain di bandar raya ini yang sudahpun sebati dengan suasana kepelbagaian dari sejak zaman nenek moyang mereka dahulu, testimoni sebenar 1Malaysia.

PENGHORMATAN KEPADA KEPELBAGAIAN KAUM

Nicholas Leong ialah rakyat tempatan yang begitu teruja dengan penganjuran majlis yang dianggapnya sesuatu yang amat bermakna buat dirinya sebagai seorang yang berbangsa Cina yang berkahwin dengan wanita keturunan Kayan.

"Sambutan ini seharusnya dilihat bukan semata-mata untuk memperkenal kebudayaan masyarakat Cina di Sarawak tetapi sebagai satu cara bagi generasi muda dari hasil perkahwinan campur seperti yang saya lalui untuk mengenali dan menghormati kepelbagaian budaya di negeri ini," katanya. Leong yang kini bertugas di kampus Universiti Curtin di sini berkata bagi setiap perayaan utama di negeri ini, suasana kemeriahannya sentiasa dirasai oleh segenap lapisan kaum.

"Setiap kali ada perayaan, semua akan terlibat sama walaupun secara tidak langsung. Ini sesuatu yang unik bagi saya kalau dibandingkan dengan tempat-tempat lain di dunia," katanya.

Katanya penganjuran acara ini juga berjaya menterjemah konsep 1Malaysia dan berperanan memperkukuh lagi perpaduan kaum.

PERMULAAN BAIK UNTUK TAHUN BARU

Bagi Yusuf Mohd, sambutan ini satu permulaan yang baik buat Miri untuk tahun ini membawa masuk pelancong seperti yang diusahakan secara bersungguh-sungguh sejak beberapa tahun lepas.

Bekas presiden Persatuan Kenyah Kebangsaan Sarawak, Simpson Njock, turut teruja dengan pemilihan Miri sebagai tuan rumah menyambut Tahun Baru Arnab ini.

Menjadi tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan merupakan sesuatu yang begitu baik untuk warga Miri, katanya.

Di samping sebagai satu lagi penghormatan kepada rakyat Miri, sambutan ini juga dapat memperkenal bandar raya peranginan dan bandar raya pelbagai kaum di mana rakyatnya tidak kekok bergaul dalam kehidupan berbilang bangsa.

Sejajar dengan konsep 1Malaysia, pemilihan Miri membuktikan tempat kecil dan jauh dari pusat pentadbiran Persekutuan tidak pernah tersisih daripada perhatian kerajaan.

"Kerajaan sekarang melihat kemampuan menganjur bukan hanya pada saiz atau lokasi sesuatu tempat semata-mata. Ini barulah benar-benar 1Malaysia," katanya.

Masyarakat India merupakan kumpulan minoriti daripada 300,000 penduduk di bandar raya Miri tetapi hakikat ini tidak menghalang kaum ini bergiat aktif dari segi penglibatan sosial dan ekonomi di bandar raya ini.

Presiden Persatuan India Miri, Karambir Singh, merupakan antara aktivis sosial yang bergiat cergas melalui penglibatan dalam beberapa buah pertubuhan amal.

"Pemilihan Miri sebagai tuan rumah menambah satu lagi keistimewaan kepada bandar raya ini yang merupakan antara bandar raya paling menyerlah dari segi kepelbagaian bangsa," katanya kepada Bernama.

Ekoran kepelbagaian ini, setiap kaum akan berpeluang mempamerkan kebudayaan mereka.

Karambir, pensyarah di sebuah kolej swasta di sini, berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir, dapat menjadikan sambutan ini usaha untuk merapatkan diri lagi dengan rakyat dan mendengar permasalahan mereka.

Katanya Najib yang pernah datang ke sini sebelum ini diperhatikan mengambil kaedah mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat.

ANUGERAH SELEPAS CAPAI STATUS BANDAR RAYA

Tiada orang yang lebih gembira melainkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan, selepas Miri diumumkan menjadi tuan rumah Rumah Terbuka Tahun Baru Cina kali ini.

Anak kelahiran Miri ini menyifatkan pemilihan ini sebagai anugerah kepada usaha-usaha pembangunan yang telah dilakukan selama ini.

"Rakyat di Miri bekerja keras selama ini sehinggalah kita berjaya mencapai status bandar raya peranginan pada tahun 2005. Inilah masanya kita menikmati anugerahnya dan kita akan memastikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini sebagai antara yang terbaik pernah dianjurkan di Malaysia," katanya.

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina pada tahun ini akan menekankan kepada titik sentuhan dan ramah mesra pemimpin bersama rakyat dengan penglibatan menyeluruh masyarakat pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Dataran Kipas Bandaraya Miri yang menjadi medan pengisytiharan Miri sebagai bandar raya pada 25 Mei 2005 akan menjadi tapak sambutan yang dijangka dihadiri lebih 20,000 orang.

Sebelum acara rasmi sambutan ini nanti, Perdana Menteri bersama-sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa orang kenamaan Persekutuan dan Negeri akan melakukan kunjungan mesra ke beberapa buah kedai di pusat bandar raya ini.

Acara sambutan akan bermula seawal pukul 4 petang dengan sesi hiburan rakyat sebelum diteruskan sehingga lewat malam dengan persembahan beberapa orang artis terkenal negara serta pertunjukan kebudayaan.

Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bandar raya ini akan turut disampaikan semasa majlis ini nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain