suria

Remaja 17 Tahun Akan Didakwa Membunuh Atuk Sendiri

JEMPOL: Seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan polis kerana disyaki terlibat merompak dan membunuh datuknya sendiri yang berusia 71 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini bersama seorang lagi rakan sebayanya pada pagi Selasa.

Mangsa, Mokhtar Yusoh meninggal dunia selepas dia ditikam bertubi-tubi sebaik sahaja terserempak dengan suspek yang sedang merompak rumahnya pada 13 Januari lalu.

Kedua-dua suspek berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah.

Mereka juga akan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak.

Kedua-duanya telah dibawa ke Mahkamah Majistret di sini Isnin untuk pendakwaan tetapi prosiding tersebut tidak dapat diteruskan atas masalah teknikal.

Dua orang lagi remaja - seorang berusia 18 tahun dan seorang lagi remaja perempuan berusia 15 tahun yang turut ditahan polis berhubung insiden berkenaan akan dikemukakan di mahkamah sebagai saksi pihak pendakwa.

Ketika kejadian, Allahyarham Mokhtar Yusoh dan isterinya Halimah Mad Yasin, 57, baru sahaja tiba di rumah mereka yang terletak di Felda Palong 2 selepas menghadiri majlis tahlil di Bukit Rokan tidak jauh dari situ pada lebih kurang jam 9 malam 13 Januari lalu dan mendapati bilik tidur mereka berselerak digeledah.

Mereka kemudiannya mendengar suara orang bercakap dari dalam sebuah lagi bilik di tingkat atas rumah satu setengah tingkat itu.

Mokhtar, yang kemudiannya meminta isterinya segera menelefon polis malangnya telah diserang oleh salah seorang remaja berkenaan dengan menikamnya bertubi-tubi. Mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kehilangan darah yang banyak.

Kumpulan remaja itu juga dikatakan telah menyerang Halimah dengan satu objek keras yang menyebabkan dia terpaksa menerima 30 jahitan di kepala.

Mereka kemudiannya melarikan barang-barang kemas dan wang tunai kesemuanya bernilai RM10,000. Polis bagaimanapun berjaya menahan mereka di kawasan yang sama beberapa jam kemudian.

Halimah yang ditemubual selepas insiden itu dilaporkan berkata yang dia telah memaafkan cucunya itu dengan harapan dia akan bertaubat.

Keluarga suspek difahamkan kini menetap di Melaka.

Artikel Lain