suria

Kasihan Ana Raffali Kena “Boo”

NIEZAM berpeluang menyaksikan Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) Ahad lalu. Niezam nak mengucapkan tahniah kepada Ana Rafalli (gambar) yang menang anugerah AJL25 kali ini.

Wang RM35,000 Ana bolot seorang diri sebab lagu Tolong Ingatkan Aku adalah hasil karyanya sendiri. Dia tak perlu berkongsi dengan orang lain.

Tahniah Ana, tahniah! Niezam ucapkan tahniah kerana tak ramai orang yang kreatif macam dia. Boleh menyanyi, buat lirik dan buat lagu. Malah boleh main gitar lagi.

Artis kita hari ini hanya boleh menyanyi tapi tak boleh nak berkarya lebih daripada itu.

Bila album tak laku, tak ada orang nak panggil buat persembahan. Mulalah garu kepala.

Kalau nak jadi artis pada hari ini sebenarnya kena pandai buat banyak kerja. Bukan hanya menyanyi tapi boleh berkarya seperti Ana. Niezam percaya, Ana mempunyai masa depan yang baik.

Dia tahu, dia tak akan boleh menyanyi sampai tua. Jadi bila dia dah tua nanti, dia boleh harapkan duit royalti daripada karya-karyanya sahaja untuk menampung hidup.

Tapi yang Niezam paling kasihan. Dek kerana Ana tidak popular macam orang lain, dia kena “boo” dalam stadium. Ramai yang mempertikaikan kenapa dia menang.

Pada Niezam senang saja. Kalau orang yang pakar kata Ana layak menang, biarlah dia menang walaupun kadang-kadang orang yang pakar pun bukannya betul sangat.

Cuma budaya “boo” atau bersorak dengan tujuan nak mengutuk orang adalah satu budaya yang harus dibuang. Niezam pernah tengok air muka Mawi semasa Anugerah Bintang Popular tak lama dulu. Mawi kena “boo” ketika pengacara sebut nama dia.

Niezam jumpa Mawi dan tanya perasaan dia. Kata Mawi, “kalau benci aku pun janganlah sampai boo.”

Betul... Niezam sokong bab itu kerana seseorang yang kena “boo”, perasaan malu itu lebih teruk daripada disuruh berbogel dan lari keliling kampung.

Budaya “boo” adalah budaya yang memang buruk perangai. Orang kita suka sangat nak “boo” orang.

Kalau Niezam jadi Ana Rafalli, Niezam akan ambil mikrofon dan boo balik orang yang “boo” itu.

Di sini Niezam nak bagi semangat kepada Ana, jangan sedih kerana orang “boo”. Kerana orang yang macam itu bukannya beli album Ana pun. Jadi Ana tak rugi apa-apa.

NIEZAM: Pelakon drama yang selalu buat onar nak kena ‘ban’ dengan stesen TV. Tu la... kenapa tak serik-serik?

Mati dan Facebook

PERTAMA sekali Niezam nak mengucapkan terima kasih kepada Mark Zuckerberg kerana memperkenalkan rangkaian laman sosial Facebook. Kerana Facebooklah Niezam dapat jumpa kawan-kawan lama dan makwe lama opsss...!

Facebook amat berjasa kepada umat manusia sampaikan bila ada ura-ura Facebook hendak ditamatkan, ramai yang jadi resah gelisah.

Facebook hari ini dah macam nyawa. Tak ada Facebook, tak boleh hidup. Bayangkan, ada orang yang nak terkentut pun dia beritahu dalam Facebook. Bangla atas rumah tumbuk sambal pun orang mengadu dalam Facebook. Bos kat pejabat yang “kipoci” pun kena bantai dalam Facebook.

Lebih padah lagi apabila Facebook itu disalah guna. Kalau orang biasa yang menyalahgunakan jaringan rangkaian sosial itu bukanlah masalah besar tetapi ia akan menjadi besar kalau artis yang punya angkara.

Niezam ada membaca banyak komen artis dalam Facebook termasuklah pelakon Abby Abadi mendedahkan Norman Hakim dan Memey Suhaiza tinggal serumah. Siapa nak jawab bila artis sendiri yang dedahkan kisah dalam kain mereka sendiri?

Ia belum lagi artis-artis yang memasukkan gambar tidak senonoh macam kes yang berlaku kepada Fasha Sandha apabila gambar dia pakai bikini tersebar gara-gara Facebook. Inilah bahananya Facebook.

Yang Niezam paling meluat sejak kebelakangan ini mereka dalam industri hiburan berlumba-lumba hendak mengemas kini status apabila mendengar sesuatu perkara yang tak betul terutamanya mengenai kematian untuk ucap takziah.

Niezam ambil contoh bagaimana kecoh apabila kisah pelakon Ahmad Busu dikatakan meninggal dunia yang disebarkan di dalam Facebook sebelum ini. Begitu juga Maizawati (bekas isteri Akhil Hayy) yang kemalangan dikatakan maut dalam kejadian itu.

Rosyam juga pernah menerima nasib kononnya dia meninggal dunia kerana kemalangan sedangkan yang meninggal dunia seorang pekerjanya.

Facebook sepatutnya dijadikan sebagai tempat untuk memudahkan berita benar disebarkan dan bukan menyebarkan berita-berita tak benar dan juga mencari kontroversi melibatkan diri sendri dan orang lain.

Niezam pening kepala dengan sesetengah pihak yang macam ni. Ingat... bab-bab mati bukan benda main-main. Tak boleh senang-senang kita nak tulis orang itu mati, orang itu kemalangan tanpa usul periksa.

Tak ada faedahnya kalau menjadi orang pertama memaklumkan sesuatu berita ada orang mati sedangkan orang yang dikatakan mati itu masih lagi hidup.

Apa yang berlaku kepada seorang juruhebah radio yang pandai-pandai mengumumkan kematian seorang pembesar negara tak lama dulu harus dijadikan pengajaran apabila orang yang dimaksudkan itu belum meninggal dunia.

Sekali lagi Neizam ulang, bab-bab mati bukan benda main-main. Jadi selepas ini kalau ada di antara kita yang membaca status kematian seseorang menerusi Facebook, jangan mudah percaya.

NIEZAM: Face to face.

Artikel Sebelum

Artikel Lain