suria

Noh: Petani Tidak Pernah Diabaikan

ALOR SETAR: Kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap golongan petani setiap kali ditimpa musibah selain kepentingan mereka sentiasa dijaga, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata sebanyak RM3.2 bilion diperuntukkan untuk sektor padi sahaja dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Saya cabar pihak-pihak yang mendakwa memperjuangkan nasib petani dan selalu menyalahkan kerajaan mengenai harga padi rendah atau potongan timbangan terlalu tinggi.

"Saya juga bersedia berjumpa Wakil-wakil Rakyat pembangkang untuk menerangkan isu padi. Tak perlulah nak jadi jaguh dan mempolitikkan isu ini," katanya sewaktu berucap pada majlis penyampaian bantuan banjir kepada petani Kedah di sini.

Pada majlis itu beliau menyerahkan wang ehsan bantuan tanaman semula berjumlah RM24.8 juta untuk 17,085 orang petani membabitkan kawasan seluas 34,170 hektar di Kedah yang ditenggelami banjir.

Bantuan itu susulan janji dan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis lepas kepada petani di Kedah dan Perlis yang dilanda banjir berjumlah RM60 juta untuk diagihkan sebelum 15 Dis ini.

Kerajaan membayar RM876 bagi setiap satu hektar sawah mulai November lepas iaitu peningkatan sebanyak RM303 berbanding sebelum ini cuma RM573.

Noh turut mengumumkan rancangan kerajaan menguruskan kawasan sawah secara skala besar seluas 5,000 hektar untuk mengatasi masalah tenaga buruh di kawasan Rancangan Pertanian Muda (Mada) selain menggunakan teknoloji terkini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain