suria

Polis Klasifikasi Kes Budak Dua Tahun Mati Mengejut

IPOH: Polis telah mengklasifikasikan kes kematian yang disyaki mangsa dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Hospital Changkat Melintang, Parit semalam sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, hasil bedah siasat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian akibat kecederaan di bahagian kepala dipercayai akibat hentakan objek keras ketika jatuh.

"Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan dan sedang mendapatkan maklumat daripada beberapa saksi.

Katanya, polis juga telah mengambil keterangan daripada pengasuh yang mendakwa kanak-kanak itu mengalami demam panas beberapa hari selepas terjatuh semasa menaiki basikal.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati ada unsur-unsur melibatkan penderaan, tindakan selanjutnya akan diambil.

Nur Amira Natasya Abdullah dari Kampung Talang Dalam, Parit dimasukkan ke Hospital Changkat Melintang pagi Khamis dan meninggal dunia tengah malam hari yang sama.

Kanak-kanak itu dihantar ke hospital oleh pengasuhnya dan bapa kanak-kanak tersebut kemudian membuat laporan polis selepas mendapati terdapat ada kesan pendarahan di kepala anaknya.

Mayat kemudian dihantar ke HRPB untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain