suria

Pertubuhan Digesa Patuhi Undang-Undang Untuk Elak Pendaftaran Dibatalkan

KUCHING: Pertubuhan politik, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu ditadbir mengikut undang-undang untuk mengelak daripada dibatalkan pendaftaran masing-masing oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ahad.

Beliau berkata di samping memiliki kepimpinan berkesan dan bergerak berlandaskan idea baru, NGO tempatan perlu menggunakan kaedah pengurusan terkini untuk membolehkan mereka memberi sumbangan positif kepada masyarakat dalam bidang masing-masing.

"Kadang-kadang, pertubuhan berdepan dengan kemungkinan dibatalkan pendaftaran masing-masing apabila berlaku salah faham antara mereka dan ROS kerana kegagalan mereka memahami peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan masing-masing," katanya ketika merasmikan kursus mengenai pengurusan pertubuhan di sini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata beliau yakin NGO, termasuk persatuan penjaja, persatuan pengusaha inap desa dan peserta industri pelancongan akan mendapat manfaat daripada Program Transformasi Kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai pencegahan jenayah untuk memastikan bandar dan pekan utama di Sarawak sentiasa selamat dan aman.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ketua Pengarah ROS Datuk Md Alias Kalil berkata 90 peratus daripada 22 NGO dan persatuan di seluruh negara dibatalkan pendaftaran masing-masing pada tahun ini kerana tidak mengemukakan laporan tahunan.

Setakat ini, 2,792 NGO dan persatuan induk, yang mempunyai 3,484 cawangan di negeri ini, berdaftar dengan ROS, kata beliau.

Mengenai langkah Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) meminda perlembagaannya untuk membuka laluan kepada keanggotaan secara terus sebagai anggota bersekutu dan anggota gabungannya berkuatkuasa serta-merta seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, beliau berkata langkah itu adalah prerogatif BN.

Pindaan berkenaan dijangka diwartakan pada Konvensyen BN yang dijadualkan berlangsung pada 28 Nov ini dan ROS akan dimaklumkan tentang tarikh penguatkuasaannya.

Bagaimanapun, kata Md Alias, sebaik saja pindaan itu dikuatkuasakan, pertubuhan politik, persatuan atau NGO di negara ini perlu meminda perlembagaan masing-masing untuk membolehkan mereka menjadi anggota bersekutu atau anggota gabungan BN.

Pada masa ini, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERS), yang dilancarkan di sini pada Julai tahun ini, adalah antara 21 parti politik yang sedang ditimbang permohonan pendaftaran masing-masing oleh ROS.

Daripada sejumlah 33 parti politik berdaftar di negara ini, enam berasal dari Sarawak dan empat parti politik yang berasal dari Semenanjung turut beroperasi di Sarawak.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain