suria

Sektor Akuakultur Dipertingkat Kerana Bekalan Ikan Laut Semakin Terhad: Noh

LUMUT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mempergiat usaha memajukan bidang akuakultur sebagai langkah menambah bekalan ikan dalam negara, berikutan bekalan ikan laut yang semakin terhad.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata, permintaan bekalan ikan sebagai sumber protein yang sihat, dijangka terus meningkat bagi setiap kadar pertambahan populasi di negara ini.

"Negara memerlukan tidak kurang daripada 1.5 juta tan ikan setahun dan keperluan ini dijangka terus meningkat kepada dua juta tan metrik menjelang tahun 2010.

"Selain memenuhi permintaan domestik, Malaysia juga mampu muncul sebagai salah sebuah negara pengeluar ikan utama dunia, memandangkan kita dianugerahkan dengan sumber kawasan tanah dan perairan yang sesuai untuk tujuan akuakultur," katanya dalam ucapan ketika merasmikan seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Perak, Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Noh juga berkata, untuk tujuan tersebut, pelbagai usaha dilakukan termasuk melaksanakan projek akuakultur menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau berkata antara inisiatif kerajaan ialah menjalankan program pengezonan kawasan tanah dan perairan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) di seluruh negara.

"Bagi Negeri Perak, kita telah melancarkan sembilan kawasan ZIA melibatkan tanah serta perairan seluas 19,500 hektar, sekaligus bakal menjadikan negeri ini sebagai pengeluar akuakultur terbesar negara," katanya.

Berdasarkan statistik pada 2009, Noh berkata industri tersebut menghasilkan pengeluaran ikan berjumlah 478,245 tan metrik yang bernilai RM2.4 bilion.

Katanya, menjelang 2015, pengeluaran akuakultur negara disasarkan sebanyak 727,300 tan metrik yang bernilai kira-kira RM7 bilion. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain