suria

Syarat Kemasukan UiTM Diperketat

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengubah syarat kemasukan ke universiti itu bermula sesi pengambilan Julai 2011.

Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, syarat kemasukan itu bakal diubah berikutan keputusan kerajaan yang mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Sahol Hamid berkata, syarat kemasukan akan diperketatkan dengan pemohon perlu mendapat sekurang-kurangnya C6 dalam subjek Sejarah bersama-sama lima subjek lain termasuk Bahasa Melayu dan Matematik.

"Jika sebelum ini syarat minimum menetapkan hanya lima kredit dalam keputusan SPM untuk memohon masuk ke UiTM, mulai pengambilan Julai 2011 memerlukan enam kredit untuk memohon masuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis perasmian Simposium Kepimpinan Siri VC 1: A-Z Dalam Pentadbiran Universiti di sini, Khamis.

Katanya, keputusan itu dibuat sebagai menyokong langkah kerajaan yang mahu membentuk kefahaman mendalam terhadap pembentukan negara bangsa negara ini dalam diri semua pelajar.

Dalam pada itu, Sahol Hamid berkata, UiTM akan membuat penambahbaikkan dan memperkukuhkan subjek Sejarah yang ditawar sebagai subjek elektif kepada penuntut universiti itu.

"Ada beberapa fakulti yang dikecualikan daripada mengambil subjek Sejarah sebelum ini seperti Fakulti Kejuruteraan dan Perubatan.

"Tetapi selepas ini kita akan selaraskan supaya semua fakulti diwajibkan mengambil subjek itu. Ini penting bagi semua penuntut memahami lebih mendalam mengenai perjuangan dan sejarah negara ini," katanya.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata keadaan di dua kampusnya di Perlis dan Kedah yang dilanda banjir berada di dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan memberi peruntukan khas kepada dua kampus itu bagi menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain bagi penuntut yang terperangkap di kolej.

"Dalam masa terdekat ini saya sendiri akan turun ke sana bagi meninjau keadaan di dua kampus itu cuma buat masa sekarang keadaan tidak mengizinkan ekoran banyak jalan ditutup akibat banjir menghalang perjalanan ke sana," katanya.

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain