suria

Imigresen Tumpaskan Sindiket Palsukan Cop Jabatan

KOTA KINABALU: Satu sindiket memalsukan cop Imigresen ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Sabah berikutan penahanan tiga lelaki warga Indonesia dalam operasi 'Ops Serkap' Jumaat lepas.

Pengarah Imigresen Sabah, Mohammad Mentek berkata, ia merupakan kes paling berprofil tinggi yang telah ditangani oleh jabatan ini sepanjang lima tahun lepas.

Katanya, adalah dijangkakan hampir 500 pemegang pasport warga Indonesia menggunakan khidmat sindiket ini yang telah beroperasi lebih tiga tahun untuk mendapatkan Pas Lawatan yang baru setelah Pas Lawatan yang tulen telah tamat tempoh, di mana dengan ini mereka tidak perlu keluar negara.

Tiga suspek itu ditahan Jumaat lepas pada waktu malam di kediaman masing-masing sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen negeri di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, kegiatan itu terbongkar dengan tertangkapnya seorang wanita warganegara Indonesia di Pos Kawalan Imigresen, Pelabuhan Tawau pada 16 Okt lalu kerana pas perjalanannya didapati mempunyai cop Pas Lawatan palsu.

Mohammad berkata, hasil siasatan mendapati wanita itu bekerja di negara ini atas Pas Lawatan (Kerja Sementara) dengan tiga majikan berlainan dan telah dua kali dikeluarkan memo Periksa Keluar namun dia tidak pernah keluar dari negara ini.

Kebanyakan pelanggan mereka bekerja di sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembantu rumah, katanya.

Kata beliau, modus operandi sindiket ini berbentuk berangkai iaitu suspek pertama sebagai orang perantaraan yang akan menerima pasport dari pelanggan untuk diserahkan kepada suspek kedua iaitu sebagai orang tengah yang akan menghubungi suspek ketiga untuk mendapatkan cop Imigresen palsu.

Antara barang yang dirampas adalah wang tunai RM950, 30 cop melibatkan cop keluar dan cop masuk bagi Imigresen Indonesia dan Imigresen Malaysia serta cop perkhidmatan feri dan kad 'departure and arrival' Imigresen Malaysia.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk siasatan.

Artikel Lain