suria

Pakistan Minta Sektor Pembinaan Malaysia Bina Semula Negaranya

KUALA LUMPUR: Pakistan menyeru sektor pembinaan dan perumahan Malaysia membantu dalam program pemulihan semula negara itu setelah infrastrukturnya musnah akibat banjir besar yang berlaku baru-baru ini.

Seruan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Masood Khalid sempena dengan sumbangan 850,000 rupees (kira-kira RM30,700) daripada Pengarah urusan AEON Malaysia, Nagahisa Oyama, pada Isnin.

Sumbangan itu diperoleh daripada "Kempen Amal Mangsa Banjir Pakistan" yang dijalankan oleh pengurusan dan kakitangan AEON Malaysia yang mengendlikan operasi Jusco department stores di Malaysia.

Katanya Pakistan kini menumpukan perhatian terhadap pembinaan dan pemulihan semula infrastruktur dan rumah-rumah yang musnah yang memerlukan bantuan daripada masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia.

Beliau menyeru sektor pembinaan dan perumahan untuk tampil membantu membina semula jalan, lebuh raya, jambatan, sekolah, dan dua juta unit rumah.

Rakyat Malaysia setakat ini telah menyumbangkan 11.69 juta rupee (kira-kira RM422,181) kepada Tabung Bantuan Pakistan Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir di negara itu.

Sebagai tambahan, kerajaan Malaysia telah menyumbang US$1 juta (kira-kira RM3.1 juta), Majlis Minyak Sawit Malaysia 39.90 million rupee (kira-kira RM14.41 juta) dan Persatuan Amal Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) yang menghantar barangan bantuan bernilai kira-kira 46 juta rupee (kira-kira RM1.66 juta) ke negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain