suria

MB Perak Dakwa Pemuda PAS Perak Main Politik Tuduh Beliau Khurafat

LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Jumaat menyifatkan tindakan Ketua Pemuda PAS Perak Zawawi Hassan mendakwa beliau meneruskan amalan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Manong, Kuala Kangsar dua minggu lepas sebagai bermotifkan politik semata-mata.

Menurutnya, sudah menjadi amalan pihak pembangkang untuk mencari sebarang isu yang boleh diputar-belitkan demi kepentingan politik mereka.

"Isu seperti inilah yang bakal mereka jaja tetapi bertindak mendiamkan diri sekiranya pemimpin mereka walaupun secara terang-terang mengamalkan perbuatan bercanggah dengan ajaran Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Kampung Batu 3, Segari di sini.

Dr Zambry berkata semasa Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) memperingati kematian (Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor) Teoh Beng Hock, tiada pula teguran dibuat.

Ketika merasmikan program IBU di Kampung Guar, Dr Zambry didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan sebuah rumah orang kurang upaya.

Berikutan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghantar memorandum bantahan kepada Mufti Perak kerana upacara itu dianggap "khurafat dan syirik". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain