suria

26 Keluarga Kg Ladang Bukit Jalil Masih Enggan Berpindah

KUALA LUMPUR: Masih terdapat 26 keluarga daripada 93 keluarga di Kampung Ladang Bukit Jalil, Puchong yang enggan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah Puchong, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Beliau berkata sehubungan itu perkara berkenaan akan dibawa kepada pengetahuan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk tindakan seterusnya.

Mengenai tuntutan penduduk agar sekolah dan kuil sedia ada tidak dipindahkan, Ahmad Fuad berkata buat masa ini memang tidak ada rancangan untuk berbuat demikian.

Kira-kira 50 orang penduduk hari ini berkumpul di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini bagi membantah notis perintah supaya mereka berpindah dari ladang itu di samping mereka menuntut hak mereka sebagai pekerja ladang tersebut.

Penduduk terpaksa berpindah ekoran DBKL memerlukan kawawan itu untuk dijadikan tanah perkuburan bercampur.

Dilaporkan sebelum ini, 64 keluarga di situ telah berpindah ke PPR Muhibbah pada Mei 2008.

Ahmad Fuad berkata bekas pekerja yang telah berkhidmat selama 15 tahun di ladang itu diberikan pampasan masing-masing sebanyak RM11,000 dan yang berkhidmat selama 7.5 tahun sebanyak RM6,370.

Jurucakap penduduk tersebut, K. Balakrishnan berkata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan pada Ogos lepas telah berjanji untuk datang membuat perbincangan lanjut bersama mereka.

"Namun sehingga kini tidak ada perbincangan dan pada 20 Okt lepas, notis peringatan terakhir untuk penduduk berpindah sebelum 20 Dis ini, kami terima,' katanya.

Menurutnya juga terdapat lapan notis daripada DBKL menyatakan mereka bukan pekerja ladang itu walaupun mereka sememangnya pekerja ladang yang sah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain