suria

500 Pelajar Malaysia Di Yogyakarta Dinasihat Bersedia Berpindah

KUALA LUMPUR: Seramai 500 pelajar Malaysia di kota Yogyakarta, Indonesia yang berhampiran dengan kawasan Gunung Merapi di Jawa Tengah, yang meletus Isnin dan Khamis, dinasihatkan bersedia untuk dipindahkan sekiranya keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

Pelajar tersebut terdiri daripada 495 pelajar di Universiti Gadjah Mada dan lima dari Institut Seni Indonesia, menurut kenyataan akhbar Kementerian Luar Negeri di sini Jumaat.

Gunung Merapi, yang terletak di persempadanan Jawa Tengah dan Yogyakarta meletus buat kali kedua semalam setelah meletus buat kali pertama Isnin.

Gunung berapi setinggi 2,968 meter dan paling aktif di Indonesia, semalam telah menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.

Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah menempatkan dua pegawai kedutaan bersama para pelajar Malaysia di Yogyakarta bagi mengawal selia keadaan.

Sementara itu, Wisma Putra berkata 34 pelajar Malaysia dan lapan rakyat Malaysia yang berada di Pasentran Sirajol Mukhlasin, Magelang, Jawa Tengah berhampiran Gunung Merapi telah dipindahkan ke Universiti Negeri Surakarta di Solo, yang terletak 65km dari Merapi pada Rabu pagi.

Katanya Kementerian Luar Negeri terus memantau perkembangan terkini bencana ekoran letusan Gunung Merapi itu serta gempa bumi di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

Pihak kementerian akan sentiasa berbincang dengan perwakilan Malaysia di Jakarta, Medan dan Pekanbaru mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dari masa ke semasa.

"Kementerian itu juga, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, mendapatkan maklumat terperinci daripada agensi Indonesia yang berkaitan dengan bencana," katanya.

Wisma Putra berkata "kerajaan Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada Indonesia sekiranya dipersetujui oleh kerajaan Indonesia, dan bentuk bantuan tersebut akan berdasarkan kepada keperluan yang dinyatakan oleh kerajaan Indonesia." Katanya Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman telah secara rasmi menghantar utusan takziah kepada rakan sejawatnya Dr R M Marty M Natalegawa pada Rabu lepas bagi menyatakan rasa simpati Malaysia ekoran kedua-dua bencana tersebut.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Indonesia, terutama yang berada di kawasan berhampiran dengan kawasan bencana supaya menghubungi perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia di Jakarta, Medan dan Pekanbaru sekiranya memerlukan bantuan.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menubuhkan Bilik Operasi khususnya berkaitan bencana-bencana ini bermula Rabu lepas untuk menerima pertanyaan mengenai kejadian tersebut.

Orang ramai boleh menghubungi bilik operasi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di nombor telefon +6221-5224947 atau +6221-52244971, selain bilik operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya di nombor telefon 03-88892746 atau 03-88874570. - BERNAMA

Artikel Lain