suria

Malaysia Berkedudukan Baik Sebagai Platform Pengeluaran Pelbagai Mata Wang Bagi Sukuk - Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia berkedudukan baik sebagai platform pengeluaran pelbagai mata wang bagi sukuk memandangkan akses meluasnya kepada ramai peserta dan pelabur, disokong oleh insentif cukai utama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin.

Beliau berkata terdapat banyak peluang mengumpul dana menerusi inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) di mana Malaysia menawarkan dirinya sendiri sebagai hab bagi pengumpulan dana.

Sebagai contoh, beliau berkata, sebuah syarikat asing boleh mengupah penyusun utama terkenal antarabangsa di Malaysia dan menerbitkan sukuk mata wang dolar AS dengan pelabur-pelabur datang dari seluruh dunia.

"Pengumpulan dana juga boleh dilakukan dengan menubuhkan dana berasaskan ekuiti, di mana pengasas dana boleh mewujudkan dana projek atau prasarana di Malaysia dan menikmati lebih 60 perjanjian pelepasan cukai berganda yang kita meterai dengan negara-negara lain," kata Najib dalam ucap tama beliau di Forum Kewangan Islam Global, di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, keperluan pembiayaan lebih US$450 bilion yang diperlukan bagi melaksanakan transformasi ekonomi Malaysia untuk dekad akan datang dijangka ditampung menerusi pengumpulan sukuk.

"Saya yakin sebahagian daripada keperluan pembiayaan ini akan ditampung menerusi pengumpulan sukuk ketika pasaran global meningkat," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kewangan Islam terus tampil sebagai opsyen pembiayaan yang berdaya maju dan kompetitif bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi pesat di Asia terutamanya dengan negara-negara Asean mengunjurkan keperluan pembiayaan yang besar dalam rancangan jangka panjang mereka.

"Walaupun pengeluaran sukuk global tahun ini hingga ke setakat ini turun kira-kira 16 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas, pasaran sukuk dijangka bertambah baik tahun depan ketika pasaran hutang global pulih dan penawaran meningkat," kata beliau.

Najib berkata oleh kerana pasaran terus berdepan dengan kekurangan penawaran, penerbitan sukuk baharu mungkin lebih murah jika tidak dipenuhi oleh kadar pengambilan tinggi, yang juga akan meningkatkan daya tarikannya.

Perdana Menteri juga menggesa negara-negara Asia meningkatkan penyepaduan sistem kewangan mereka ketika ekonomi-ekonomi membangun mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan mereka.

"Mempunyai sistem kewangan yang lebih bersepadu akan membolehkan negara-negara Asia menyalurkan dengan cekap tabungan mereka yang besar ke dalam pelbagai peluang-peluang pelaburan dalam Asia dan juga di negara-negara membangun lain," kata beliau.

Diunjurkan bahawa tabungan kumulatif di Asia bakal mencecah kira-kira US$80 trilion bagi tempoh sepuluh tahun akan datang, yang seterusnya boleh merangsang produktiviti aktiviti ekonomi di rantau ini, kata beliau.

Najib juga menyaksikan permeterian Artikel Perjanjian bagi penubuhan Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain