suria

75 Terima Darjah Kebesaran Dan Pingat Pahang

PEKAN: Seramai 75 orang hari ini menerima anugerah darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun keputeraan ke-80 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar di sini, pada Ahad.

Anugerah itu disampaikan oleh Baginda. Jumlah penerima itu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianugerahi Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormat (DK).

Najib akan menerima darjah kebesaran pada satu istiadat berasingan di Balairong Seri Istana Abu Bakar malam Ahad.

Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, tengklu Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar serta Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mendahului senarai penerima ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang dikurniakan darjah yang pertama kali diperkenalkan iaitu darjah Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) yang membawa gelaran 'Datuk Seri Diraja'.

Sultan Ahmad Shah turut mengurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' kepada 19 orang termasuk dua adinda baginda iaitu Tengku Datuk Nong Soraya Sultan Abu Bakar dan Tengku Datuk Sulaiman Sultan Abu Bakar.

Antara penerima darjah SSAP yang lain adalah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Hakim Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Abu Samah Nordin.

Sementara itu, dua orang dianugerahi Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran 'Datuk', iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datin Madinah Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Datuk Jebasingam Issac John.

Seramai 10 orang menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran 'Datuk'" antaranya Pengarah PLB Engineering Bhd Tengku Datuk Naizatul Shima Tengku Abdul Murad Shah Al-Haj, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Jabatan Kerja Raya, Puan Sri Zaiton Mhad Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Mohd Solah Hassan.

Seramai 42 orang pula menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran 'Datuk'.

Jumlah keseluruhan penerima darjah kebesaran dan pingat-pingat negeri Pahang pada tahun ini adalah 1,211 orang. - BERNAMA

Artikel Lain