suria

Tiga Nafi Pemilik Parang Dalam Kereta Dipandu Aminulrasyid

SHAH ALAM: Persoalan siapa pemilik sebilah parang yang ditemui dalam kereta dipandu Aminulrasyid Amzah yang mati dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11 di sini, belum terjawab selepas tiga saksi pendakwaan yang memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis hari ini menafikan pernah melihat atau meletakkan parang itu dalam kereta berkenaan.

Mereka ialah kakak kedua Aminulrasyid, Tuty Shaninza Anom Amzah, yang merupakan pemilik kereta jenis Proton Iswara putih yang dipandu oleh remaja itu pada hari kejadian, suami Tuty, Muzafar Mahali dan bapa mentua Tuty, Mahali Ramlan yang merupakan pemilik berdaftar kereta itu.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15.

Dalam keterangannya, Tuty Shaninza, 36, berkata beliau tidak pernah meletakkan parang di dalam kereta itu, dan ketika ditunjukkan sebilah parang yang merupakan satu daripada barang kes, saksi pendakwaan ke-20 itu berkata beliau tidak pernah lihatnya dan tidak tahu siapa pemiliknya.

Tuty Shaninza juga berkata beliau tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa parang sebelum kejadian.

Mahali, 69, yang merupakan saksi ke-21 pendakwaan, pula berkata beliau tidak pernah menyimpan parang dalam kereta itu yang dibelinya pada 2006 sehingga beliau memberikan kereta itu kepada Tuty Shaninza, empat bulan selepas itu.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menunjukkan parang itu, Mahali menafikan bahawa beliau pernah melihatnya.

Muzafar, 36, dalam keterangannya juga menafikan bahawa beliau pernah nampak dan meletakkan parang dalam kereta itu.

Saksi ke-22 pendakwaan itu berkata beliau tidak tahu siapa pemilik parang itu dan menafikan bahawa isterinya, Tuty Shaninza, ada membawa parang dalam kereta itu.

Ketiga-tiga saksi itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap anggota polis, Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Tuty Shaninza berkata Aminulrasyid merupakan anak bongsu daripada lapan adik beradik dan ketika diminta mengenal pasti wajah adiknya dalam gambar bedah siasat bagi proses pengecaman, saksi itu kelihatan mengusap-usap gambar itu dan hanya mengangguk sambil mengesat air mata.

Saksi itu berkata bahawa pada 25 April lepas, beliau telah memandu kereta itu ke rumah ibunya di No 26, Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11, untuk bermalam di situ, dan apabila tiba di rumah itu beliau melihat Aminulrasyid sedang menyiapkan kerja sekolahnya di meja makan.

"Aminulrasyid kemudian minta saya masakkan nasi goreng untuknya dan kami kemudian makan bersama-sama ibu saya dan tiga anak saya. Selepas mengemas meja makan, saya letakkan kunci kereta di tempat letak kunci di bahagian dalam rumah dan Aminulrasyid menyambung kembali kerja sekolahnya. Saya kemudian masuk tidur di bilik ibu saya yang terletak di tingkat atas," katanya.

Tuty Shaninza, seorang pakar warna, berkata bahawa pada pukul 3.30 pagi, beliau telah menerima panggilan daripada suaminya (Muzafar) yang bertanyakan di mana kereta Proton Iswara itu berada dan beliau menjawab kereta itu berada di tempat letak kereta di rumah.

"Suami saya minta saya pastikan sama ada kereta itu masih ada di situ atau tidak dan apabila saya turun saya lihat kereta Iswara telah tiada, yang ada cuma kereta Proton Saga milik adik lelaki saya, Muhammad Shahreeman Putra. Kemudian suami suruh saya periksa sama ada adik-adik saya ada di rumah dan apabila diperiksa cuma Aminulrasyid sahaja tiada di biliknya. Saya cuba hubungi telefon bimbit Aminulrasyid tetapi tidak berjawab.

"Apabila saya dapati kereta tiada, saya keluar ke pintu pagar rumah dan saya nampak kereta peronda polis di hujung simpang jalan masuk ke rumah ibu saya. Selepas itu saya kejutkan ibu dan Muhammad Shahreeman dan kami terus pergi ke simpang jalan dan apabila saya bertanyakan anggota polis apa yang berlaku mereka tidak cakap apa-apa. Kemudian saya nampak kereta saya terjungkit di depan tembok putih dan bila saya cuba pergi ke kereta saya telah dihalang oleh polis," katanya.

Tuty Shaninza berkata beliau cuba bertanyakan kepada anggota polis di mana pemandu kereta Iswara itu tetapi anggota polis itu berkata beliau tidak boleh beritahu apa-apa tanpa arahan pihak atasan.

Saksi itu berkata beliau hanya mengetahui bahawa Aminulrasyid terlibat dalam kejadian itu apabila dibenarkan membuat pengecaman mayat mangsa di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 3 petang hari kejadian. Ditanya mengenai perwatakan Aminulrasyid, Tuty Shaninza berkata adiknya merupakan seorang yang aktif bersukan, bijak, manja serta tidak pernah melawan cakap ibunya.

Walaupun bersetuju dengan cadangan peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain bahawa beliau tidak boleh memastikan sama ada adiknya mempunyai masalah disiplin, saksi itu bagaimanapun berkata perkara itu (masalah disiplin) tidak pernah sampai ke pengetahuannya.

Saksi itu juga berkata Aminulrasyid tidak pernah memandu serta belajar memandu kereta sebelum kejadian dan sekiranya ingin ke mana-mana, adiknya itu akan dihantar dan diambil oleh ibunya.

Tuty Shaninza bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Salim bahawa sepanjang pengetahuannya beliau tidak boleh memastikan sama ada adiknya itu ada memandu kereta lain di rumah ibunya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung 28 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain