suria

Jangan Leka Tanggungjawab Menjaga Orang Tua: Rosmah

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meminta masyarakat negara ini supaya tidak leka tanggungjawab terhadap ibu bapa masing-masing hingga berlaku kes orang tua menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di rumah-rumah kebajikan. Katanya anak-anak yang lahir pada zaman moden ini tidak boleh menjadikan alasan terlalu sibuk dengan urusan kerjaya atau kesempitan taraf pendapatan hingga sanggup mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa.

"Cuma harapan saya, janganlah ibu-ibu ini diketepikan kerana menganggap mereka sudah tidak berguna dan sukar untuk dijaga.

"Inilah persepsi yang harus diubah dalam diri anak-anak sekarang," katanya pada majlis penganugerahan Ibu Mithali 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini Khamis.

Katanya warga tua itu tidak wajar diabaikan kerana mereka sebenarnya telah banyak berjasa menjaga keluarga, hingga ada antara anak-anak mereka muncul sebagai pemimpin dan cendiakawan di negara ini.

Rosmah juga meminta ibu bapa, khususnya yang berkerjaya untuk mengawasi pergerakan dan pergaulan anak masing-masing walaupun dalam kesibukan tugas.

Katanya anak-anak tidak boleh diberikan kebebasan melulu kerana tindakan itu mampu memberikan kesan buruk terutama pengaruh rakan sebaya dan teknologi maklumat.

Beliau juga menasihati pasangan muda yang berkahwin untuk mendalami ilmu keibubapaan melalui pembacaan atau pun dengan menghadiri kursus yang kini banyak dianjurkan institusi kerajaan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan pihak swasta.

"Hakikatnya, ramai ibu bapa yang gagal menjadi idola kepada anak-anak kerana ketidakbijaksanaan mereka dalam memberi tauladan yang baik kepada anak-anak. "Di samping itu ada yang menganggap tugas mendidik ini adalah tanggungjawab sekolah semata-mata dan mereka (ibu bapa) hanya perlu menyediakan keperluan asas anak-anak tanpa memperuntukkan masa mereka sendiri bagi mengajar dan mendidik anak-anak," katanya.

Pada majlis itu, Rosmah, yang juga penaung majlis itu, menyampaikan anugerah tiga tahun sekali itu kepada Awiah Awi, yang terpilih daripada empat finalis.

Awiah, seorang ibu tunggal kepada sembilan orang anak lelaki, Awiah Awi, 64, diumumkan sebagai Ibu Mithali, satu pengiktirafan dan penghormatan tertinggi negara kepada kaum ibu yang berjasa.

Pemilihan Awiah mengambil kira kejayaannya, sumbangan kepada masyarakat, tanggungjawab dan pengorbanan, serta kejayaan anak-anak. - BERNAMA

Artikel Lain