suria

1,046 Kes Muflis Kalangan Bawah Umur 25 Tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,046 kes muflis melibatkan kalangan mereka di bawah umur 25 tahun dicatatkan bagi tahun 2005 hingga Julai tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada kes itu, 487 atau 46.5 peratus diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang sewa beli kenderaan manakala 354 orang (33.8 peratus) pula gagal menjelaskan pinjaman peribadi.

Terdapat juga kalangan mereka muflis kerana menjadi penjamin korporat dan sosial, serta gagal menjelaskan pinjaman kad kredit serta biasiswa atau pinjaman pelajaran, katanya. Liew menjawab soalan Aaron Ago Anak Dagang (BN-Kanowit) berhubung jumlah remaja yang muflis sejak lima tahun lalu dan punca utamanya, pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini.

Menurutnya bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Insolvensi sedang mengkaji semula undang-undang muflis supaya prosedur pengisytiharan kebankrapan diperketat dan diperkemas bagi menjayakan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan seperti mengadakan 61 program "Outreach and Awareness" di seluruh negara untuk memberi maklumat mengenai kesan buruk jika seseorang diisytiharkan muflis serta cara untuk keluar daripada belenggu itu.

"Hasilnya, terdapat penurunan 44.6 peratus kepada 139 kes kebankrapan melibatkan remaja di bawah 25 tahun pada tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 251 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Liew memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kes muflis bagi tempoh lima tahun lepas adalah sebanyak 83,389 kes. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain