suria

Usahawan Muda Disaran Terlibat Dalam Program Padanan Perniagaan

KUALA LUMPUR: Usahawan muda seharusnya melibatkan diri dalam program padanan perniagaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Khamis.

"Program padanan perniagaan ini pada kebiasaannya boleh membawa transaksi dan faedah kepada perniagaan masing-masing," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran awal Persidangan dan Perdagangan Perniagaan Muda Asia Pasifik (APYBC) 2010 di sini.

Ditanya mengenai prestasi usahawan muda Malaysia, Mukhriz berkata usahawan muda ini terlibat dalam banyak sektor tetapi tidak kesemuanya boleh berjaya.

"Itu sebabnya mengapa kerajaan mahu membantu mereka dengan menyediakan inisiatif yang berkaitan dengan sektor yang mereka terlibat," kata beliau.

Mengenai APYBC 2010, Mukhriz berkata ia adalah platform di mana kesemua rancangan masa depan dilahirkan menerusi perbincangan dan inisiatif yang diambil sebelum ini.

"Dengan penceramah dan topik-topik yang menarik dan mengagumkan, saya pasti delegasi bukan sahaja menghadiri persidangan biasa tetapi akan mendapati yang APYBC mendahului arah untuk impak tinggi dan tindakan ke hadapan yang mapan," kata beliau.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor dan International Malaysian Chamber of Commerce Ltd. Ia akan diadakan dari 28 hingga 30 Okt, 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Bertemakan "Memanfaatkan Idea, Mengembangkan Peluang", ia telah menarik 500 peserta dengan 30 peratus ialah dari seberang laut.

Acara itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad adalah antara speaker utama. - BERNAMA

Artikel Lain