suria

Tentera Malaysia Sentiasa Amalkan Sikap Bertimbang Rasa Di Sempadan

KUCHING: Tentera Malaysia sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa pada rakyat negara jiran di kawasan sempadan yang ingin mencari kehidup an dan rezeki di negara ini asalkan mereka mematuhi peraturan dan syarat di bawah Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia /Indonesia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak tentera tidak menyekat rakyat negara jiran di sempadan negara untuk keluar masuk ke negara ini termasuk menjalankan aktiviti perniagaan, asalkan mereka mempunyai pas sempadan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen.

"Kita lihat di Pekan Serikin, mereka yang menjalankan perniagaan di sini terdiri daripada rakyat Indonesia, ini memperlihatkan kita bertimbang rasa dalam menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama editor kanan dan media di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin di sini, Ahad.

Seramai 55 wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi media di Semenanjung termasuk penulis blog mengikuti rombongan tiga hari bermula semalam.

Zahid berkata di kawasan Serikin, operasi dan kerjasama yang dijalankan di kawasan sempadan am antara Malaysia/Indonesia memberi gambaran hubungan kedua-dua negara itu bukan sahaja sebagai negara sahabat tetapi juga jiran terdekat.

Malah, katanya terdapat tiga pos termasuk di Biawak dan Tepedu, di mana tentera darat dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bergabung melakukan rondaan bersama.

"Pihak Imigresen telah mengeluarkan pas sempadan kepada penduduk yang terlibat dalam kawasan operasi dan pihak tentera akan mencatat perjalanan keluar masuk mereka yang mempunyai pas itu.

"Sekiranya ada yang tidak mempunyai pas membolosi sempadan, maka kita akan ambil tindakan dan menghantarnya kepada pihak berkuasa Indonesia," katanya.

Zahid berkata kerjasama dan rondaan yang dilakukan itu berjaya mengurangkan rampasan barang-barang yang diseludup melalui 'lorong tikus' dan 'lorong gajah' seperti gas, minyak dan gula.

Barang-barang yang sering diseludup masuk ke Malaysia pula ialah binatang eksotik, telur penyu, senapang angin dan kain batik. "Tahun lepas barangan seludup yang dirampas bernilai RM143,987 manakala sehingga penghujung September tahun ini, menunjukkan penurunan sebanyak 20 peratus dan sehingga kini nilai rampasan ialah RM119,465," katanya.

Beliau berkata kerjasama erat terutama di sempadan kedua-dua negara harus dinilai secara baik oleh media di Indonesia dan sepatutnya mereka mengambil pendekatan sama seperti mana yang dilakukan media di Malaysia dengan menyiarkan berita-berita yang positif dalam menjaga hubungan baik itu.

Zahid berkata beliau akan terus membawa media untuk sama-sama turun ke lapangan bagi memberi gambaran jelas dan pendedahan bentuk operasi yang dijalankan di sempadan negara.

Turut bersama rombongan menteri ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifeli Mohd Zin. Selain itu ia turut disertai Pengarang Kanan agensi media termasuk Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong, Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mior Kamarulbaid Shahid dan Ketua Pengawal Radio Televisyen Malaysia Mohammad Mat Hussein. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain