suria

APMM Tahan Sembilan Bot Nelayan Vietnam Ramadan Lalu

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan sembilan bot nelayan Vietnam bersama 95 awak-awak dan tekong kerana menangkap ikan dalam perairan negara sepanjang bulan puasa lepas. Pengarah Operasi Maritim Wilayah Timur Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata dua daripada bot nelayan itu ditahan di perairan Terengganu manakala tujuh lagi di perairan Kelantan.

"Tangkapan nelayan itu dibuat daripada 11 Ogos hingga 27 Ogos dalam beberapa operasi yang dijalankan di perairan pantai timur," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Beliau berkata empat daripada 95 nelayan itu adalah di bawah umur dan hasil tangkapan mereka bernilai RM3,240 telah dilelong.

Syed Mohd Fuzi berkata dalam tempoh yang sama juga, APMM menahan tiga bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat Jabatan Perikanan termasuk menggunakan awak-awak asing tanpa permit di perairan Dungun, Terengganu dan Tok Bali, Kelantan.

Selain itu, APMM turut menahan sebuah bot tunda yang dipercayai cuba menyeludup pasir di Pekan, Pahang, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain