suria

Johor Minta Kerajaan Pusat Muktamadkan Keputusan Pengurusan Pelupusan Sisa Pepejal

TANGKAK: Kerajaan pusat hari ini diminta memuktamadkan keputusan mengenai pengurusan pelupusan sisa pepejal di negeri Johor yang kini tidak mempunyai pendekatan efisyen dan berkesan.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata tindakan itu penting memandangkan konsesi syarikat pelupusan sampah dan sisa pepejal selama 15 tahun yang dilantik kerajaan itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

"Kita tidak mempunyai pendekatan yang efisyen dan berkesan untuk mengangkut sampah dan sisa pepejal sehingga ia telah menimbulkan rungutan rakyat," katanya kepada pemberita selepas rumah terbuka Hari Raya di kediamannya Sungai Mati, Ledang, dekat sini.

Menurutnya, tempoh konsesi yang diberikan kepada syarikat itu sudah tidak sesuai dan kerajaan negeri berharap ada keputusan muktamad untuk mengatasi masalah itu.

Abdul Ghani berkata selaras dengan enakmen mengenai soal pelupusan sampah sudah pun diputuskan di Parlimen baru-baru ini, Johor berharap pelupusan sampah dan sisa pepejal itu dapat diswastakan sepenuhnya mulai awal tahun depan.

Mengenai tapak pelupusan sampah di Bakri, Muar, Abdul Ghani menolak dakwaan DAP yang mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa walaupun sudah memutuskan untuk menutup tapak teresebut.

"Sebuah tapak baru sudah pun dibeli di Pagoh, Muar dan usaha pemindahan ke tapak tersebut mengambil masa dua tahun untuk diselesaikan," katanya.

Terdahulu itu, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan Bandar Maharani yang sering dilanda banjir kilat setiap kali musim hujan.

Abdul Ghani menjelaskan satu sistem perparitan yang baru perlu dilaksanakan di kawasan tersebut bagi menggantikan sistem sedia ada yang sudah tidak mampu mengalirkan air dengan efisien. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain