suria

Pampasan RM90,000 Setiap Kedai Tidak Dapat Dipenuhi Kerana Kurang Sumber

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan 10 pengusaha Restoran Medan Selera Pines untuk pampasan RM90,000 bagi setiap kedai kerana kekurangan sumber, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan.

Bercakap kepada pemberita di sini malam Rabu, beliau berkata restoran itu yang telah beroperasi selama 47 tahun di Brickfield, akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan projek Little India.

Kawasan itu akan meliputi dari Jalan Travers ke Jalan Tun Sambanthan, dengan fasa pertama bernilai RM17 juta dan dijangka siap pada November.

Restoran itu akan dirobohkan untuk pembinaan bazar moden dan kerana itu mereka diminta berpindah ke tempat sementara di pusat penjaja di Lorong Chan Ah Tong sehingga akhir September.

Saravanan berkata walaupun isu pampasan telah diketepikan, kementeriannya akan terus berbincang dengan pengusaha restoran tersebut untuk menyelesaikan masalah itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain