suria

Imigresen Tahan 55 Pendatang Tanpa Izin Di Gua Musang

GUA MUSANG: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 55 pendatang asing tanpa izin dalam operasi "Ops Sapu" yang dijalankan di sekitar daerah Gua Musang, dari pukul 10 malam tadi hingga 11 pagi ini.

Timbalan Penolong Pengarahnya Amran Abdul Aziz berkata 48 daripada mereka adalah warga Indonesia, manakala selebihnya warga Vietnam dan Bangladesh.

Beliau berkata operasi membabitkan 26 anggota itu memberi tumpuan kepada lima lokasi yang terdiri daripada Rancangan Tanah Felda Perasu, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, kilang kayu getah di kawasan Perindustrian Gua Musang, tapak pembinaan kuarters klinik kesihatan dan tapak pembinaan dihadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang.

"Hari ini merupakan kali kedua dalam bulan ini kami adakan Ops Sapu, di mana kali pertama pada 6 Ogos lepas kami berjaya menahan 71 pendatang tanpa izin," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya semua pendatang asing itu akan dihantar ke depoh tahanan sementara di Tanah Merah untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain