suria

Polis Lumpuh Ejen Sindiket Pertaruhan Sukan Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan sindiket ejen pertaruhan pelbagai jenis sukan antarabangsa secara dalam talian melibatkan pertaruhan ratusan juta ringgit apabila menahan 17 orang termasuk lima wanita di sebuah pejabat di Megan Avenue, Jalan Ampang di sini, Rabu.

Penolong Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman ACP Sanusi Sidek berkata kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an, ditahan kira-kira pukul 2 petang dalam serbuan hasil risikan polis di Blok Bk, Tingkat 5 bangunan itu.

"Sindiket yang beroperasi sejak tiga tahun itu, menjadikan pejabat itu sebagai pusat pertaruhan judi baru untuk mengendalikan pertaruhan haram mencecah lebih RM1 juta setiap hari.

"Dalam serbuan itu, kami juga merampas 30 komputer meja yang memaparkan pelbagai taruhan judi sukan dari luar negara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata antara sukan yang dipertaruhkan ialah bola sepak, tenis, golf dan badminton.

Sanusi berkata sindiket itu kerap menukar tempat operasi di sekitar Kuala Lumpur bagi mengaburi dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata serbuan itu adalah lanjutan daripada "Operasi Soga" yang dilakukan sepanjang kejohanan Piala Dunia pada Jun lepas.

Kesemua ejen pertaruhan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain