suria

14 Kes Tipu Akaun Mangsa Kerugian Hampir RM50,000

KULIM: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Daerah Kulim menerima 14 laporan berhubung panggilan palsu daripada pihak tertentu yang menyamar sebagai wakil Bank Negara menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50,000 daripada akaun simpanan mereka sejak tiga bulan lepas.

Ketua Polis Kulim, Supritendan Ghuzlan Mohd Salleh berkata, kesemua 14 kes itu melibatkan cara yang serupa menyebabkan mangsa kehilangan wang dalam akaun simpanan masing-masing.

Beliau memberitahu pemberita bahawa pada peringkat awal mangsa akan menerima satu panggilan daripada seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan Bank Negara mengatakan bahawa akaun bank mangsa dikesan telah dicerobohi.

"Mangsa yang yakin bahawa maklumat diterimanya adalah benar, akan mematuhi arahan pemanggil berkenaan dan berakhir dengan mangsa kehilangan wang simpanan daripada akaun banknya yang secara licik dimasukkan ke dalam sebuah akaun yang lain," katanya.

Ghuzlan menasihatkan orang ramai supaya menghubungi atau pergi terus ke bank tempat mereka menyimpan wang dan dapatkan kepastian daripada pegawai-pegawai bank berkenaan jika menerima panggilan serupa.

Mengenai pembunuhan seorang lelaki warga Myanmmar di Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini, pada 7 Ogos lepas, beliau berkata polis sedang mengesan dua lagi warga negara itu dikenali Zay Yar Soe, 25, dan Thant Zin, 23, untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain