suria

67 Anggota Misi Kemanusiaan Tiba Di Kaherah

KAHERAH: Enam puluh tujuh anggota Misi Kemanusiaan ke Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) selamat tiba di Kaherah, Mesir, pada pukul 10.15 malam waktu tempatan semalam (kira-kira 4.15 pagi waktu Malaysia).

Pasukan itu berlepas dari sempadan Rafah menggunakan dua bas pada pukul 3 petang selepas menunggu hampir dua jam di Bangunan Imigresen Mesir di sempadan Rafah yang memisahkan Semenanjung Gaza dan Mesir.

Menyambut ketibaan mereka ialah pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir yang diketuai Kuasa Usaha Sementara, Shaiful Anwar Mohammad dan Setiausaha politik kepada menteri luar, Datuk Norhaidi Che Dan.

Misi kemanusiaan yang diketuai presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memasuki Gaza pada 9 Ogos untuk menyampaikan bantuan berupa sumbangan makanan, pakaian raya, selimut dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza sempena bulan Ramadan.

Sepanjang lapan hari berada di wilayah konflik itu, sebanyak 2,750 keluarga membabitkan 5,000 penerima di Gaza City, Jabalyah, Der Al-Balah, Khan Younis dan Rafah, termasuk kawasan Saifa yang bersempadan dengan Israel di utara Gaza, mendapat bantuan.

Misi kemanusiaan itu turut menyampaikan sumbangan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan kepada lima hospital dan klinik komuniti yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), juga di kawasan sama.

Ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan bernilai US$10,000 turut disampaikan kepada hospital dan klinik kerajaan menerusi sumbangan kepada pemimpin Hamas yang bertanggungjawab bagi sektor kesihatan di Gaza Dr Basem N.Naim. Misi kemanusiaan yang turut disertai 35 doktor, paramedik dan pakar perubatan pelbagai kaum itu juga mengadakan latihan kecemasan dan trauma di Hospital Al-Amal di Khan Younis selain membantu doktor tempatan merawat pesakit.

Sumbangan kewangan, masing-masing US$2,500, turut disampaikan kepada lima masjid di wilayah Gaza. Persinggahan terakhir misi kemanusiaan itu ialah di Palestine Avenir for Childhood Foundation dan di sana Abdul Azeez menyampaikan sumbangan kewangan 100 shekel kepada 400 kanak-kanak kurang upaya.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 10,000 shekel kepada wakil persatuan nelayan di Gaza City, Mahmood Abdul Aziz di kawasan perkampungan nelayan Gaza City bagi mengadakan majlis berbuka puasa untuk 1,500 nelayan di kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain