suria

Agong Berbuka Puasa Bersama Kerabat, Sahabat Dan Anak Yatim

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama kerabat, sahabat dan anak-anak yatim di Istana Negara, di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan putera sulung baginda yang juga Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail turut berangkat ke majlis itu.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada kerabat dan sahabat baginda.

Antaranya ialah ayahanda saudara baginda, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, adinda baginda iaitu Tengku Seri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel, Tengku Sri Temenggong Tengku Baharuddin dan Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Sebelum itu, Seri Paduka berdua menyampaikan sumbangan kepada 100 penghuni Rumah Anak-anak Yatim Darul Taqwa (ASDAT) dan Darul Kifayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain