suria

Isu Perakam Video:MB Selangor Nafi Rombak Kakitangan Lama Di Pejabat Beliau

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan ura-ura bahawa akan berlaku rombakan membabitkan kakitangan lama di pejabat beliau dalam usaha memastikan kejadian penemuan sebuah alat rakaman video yang disembunyikan dalam bilik pejabatnya tidak berulang.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya belum ada perancangan ke arah itu tetapi sebaliknya sedang menjalankan kajian untuk mengetahui bila perkara itu berlaku sehingga kakitangan di pejabat Menteri Besar tidak mengetahui tentang kejadian itu.

"Sekiranya kita dapati perkara ini dilakukan oleh mereka dalam pejabat Menteri Besar sudah tentulah tindakan yang sesuai akan diambil. Buat masa ini kita tidak tahu lagi dan kita tidak ada sebarang keputusan untuk mengatakan mengenai perkara ini (rombakan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Dialog Bantuan Peruntukan Pembangunan Pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Selangor di sini, Sabtu.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura akan berlaku rombakan membabitkan kakitangan di pejabat Menteri Besar yang bertugas sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi mengelakkan timbulnya isu konflik kesetiaan.

Ini berikutan penemuan sebuah alat rakaman video pada Rabu lepas yang disembunyikan di belakang langsir bilik pejabat Abdul Khalid dipercayai untuk mengintip aktiviti harian beliau.

Abdul Khalid menyedari kewujudan alat rakaman video itu apabila alat berkenaan berbunyi sebagai isyarat bateri berkeadaan lemah.

Beliau berkata pihaknya telah menjemput Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar untuk berbincang mengenai perkara itu selain mengadakan kerjasama berhubung isu-isu keselamatan di Selangor pada mesyuarat exco kerajaan negeri Rabu depan.

"Kajian yang telah dilakukan kita akan serahkan kepada ketua polis Selangor semasa mesyuarat minggu depan kerana beliau adalah individu yang paling layak untuk beri khidmat nasihat kepada kita berhubung isu keselamatan di negeri ini," katanya.

Selain itu, Abdul Khalid berkata pihaknya juga akan mengadakan pemeriksaan di pejabat-pejabat exco kerajaan negeri bagi memastikan kejadian yang sama tidak berlaku.

Sementara itu, beliau berkata tiada keperluan bagi mengheret anggota Exconya, Ronnie Liu menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi membolehkan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa seperti yang didesak oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA Klang Datuk Dr Ching Eu Boon.

Beliau berpendapat cadangan itu tidak mempunyai apa-apa tujuan selain untuk menambah lagi kerja pentadbiran dan sekiranya MCA ingin juga kes ini dibawa ke Selcat mereka boleh berbincang dengan Speaker Dewan Negeri Tee Chang Khim sama ada ia sesuai diadakan atau sebaliknya.

Pada 31 Julai lepas, jawatankuasa disiplin DAP memecat bekas pembantu Liu, Tee Beng Hock, yang ketika itu ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), kerana mengeluarkan surat sokongan atas nama Liu bagi mengesyorkan supaya sebuah kontrak diberikan kepada sebuah syarikat di mana anaknya merupakan seorang pemegang saham.

Liu bagaimanapun hanya diberi amaran keras oleh jawatankuasa itu dan diingatkan supaya bertanggungjawab memastikan pejabatnya dalam keadaan teratur serta mengamalkan ketelusan dan urus tadbir yang profesional bagi memenuhi kehendak rakyat serta menjamin imej parti. - BERNAMA

Artikel Lain