suria

Polis Tahan Remaja Bantu Siasatan Kes Bunuh Di Relau

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang remaja berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang seorang pelajar tingkatan satu yang ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher di rumahnya di Relau di sini, Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata remaja yang ditahan itu adalah rakan baik kepada R.Surendren, 13, yang ditemui mati dalam bilik rumahnya pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati remaja itu adalah pelajar sekolah yang sama dengan Surendren dan dia pergi ke rumah Surendren antara pukul 7 dan 10 pagi pada hari kejadian," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata remaja itu dipercayai bergaduh dengan Surendren.

Katanya remaja itu ditahan di rumahnya di Bayan Lepas dekat sini beberapa jam selepas kejadian dan polis turut menemui beberapa barang kes termasuk pisau yang dipercayai senjata pembunuhan.

"Selain itu polis turut menemui baju sekolah, seluar dan kasut sekolah yang mempunyai kesan darah, yang dipercayai dibuang remaja itu di sekitar kawasan perumahannya," kata beliau.

Ayub berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolahnya, remaja itu didapati datang lewat ke sekolah pada hari kejadian, dan menurutnya remaja itu kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain