suria

Hanya Pemandu Bas Dan Van Haram Terlibat Kes Rogol

PUTRAJAYA: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Semenanjung Malaysia menjelaskan setakat ini tiada pemegang lesen untuk perkhidmatan bas serta van sekolah, yang dikeluarkan agensi itu, terbabit dalam jenayah rogol. Pengerusinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata ia berdasarkan statistik LPKP dan yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya banyak kes dilaporkan adalah melibatkan pemandu-pemandu haram yang beroperasi tanpa sebarang lesen.

"Jadi pihak LPKP menasihatkan ibu bapa untuk memastikan perkhidmatan bas serta van sekolah yang digunakan bagi menghantar anak masing-masing adalah perkhidmatan yang diberikan lesen sah oleh LPKP," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau mengulas kejadian pada Julai lepas apabila seorang murid perempuan berusia 10 tahun dirogol oleh pemandu van sekolah berdekatan sebuah tadika di Jalan Othman, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan pemandu berkenaan juga dipercayai terbabit dengan dua lagi kes rogol di daerah itu.

Halimah berkata ekoran itu satu perbincangan akan diadakan antara LPKP dengan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan, wakil Kementerian Pelajaran, Persatuan Bas Sekolah dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Rabu depan untuk membincangkan isu perkhidmatan bas sekolah.

Beliau berkata turut akan dibincangkan ialah saranan Kementerian Pelajaran dan KPWKM bagi mewujudkan pemandu bas kedua atau konduktor bas yang terdiri dari wanita.

"Perbincangan akan menjurus kepada faktor kewajaran mewujudkan konduktor bas sekolah kerana ia bakal membabitkan soal kos, yuran bulanan pertambahan kakitangan dan lain-lain," katanya.

Sehingga kini, sejumlah 14,757 permit untuk perkhidmatan bas sekolah telah dikeluarkan LPKP.

Mesyuarat juga, katanya, akan membincangkan soal pemandu teksi dan bas warga asing terutama terutmanya sekitar Lembah Klang termasuk masalah pemegang lesen yang menggaji warga asing tidak mempunyai taraf penduduk tetap dan tidak mempunyai kad Kenderaan Khidmat Awam (PSV) dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata setakat ini 16 permohonan sudah diterima LPKP bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk perkhidmatan bas ekspress memohon perkhidmatan tambahan menjelang Aidilfitri.

"Permohonan telah dibuka mulai 9 hingga 27 Ogos dan perkhidmatan bas tambahan akan bermula pada 3 Ogos hingga sehingga 19 September," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain