suria

Tuntutan Mutaah RM5 Juta Bekas Isteri Kadar Shah Selesai

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman dan bekas isterinya, Datin Fauziah Haron bersetuju untuk menyelesaikan kes tuntutan mutaah berjumlah RM5 juta secara baik di luar mahkamah.

Persetujuan itu dibawa ke pengetahuan Mahkamah Tinggi Syariah di sini Isnin, semasa kes disebut di hadapan Pendaftar, Halimaton Sa’adiah Mohd Mahdee. Kes dijadualkan sebagai perbicaraan hari ini.

Pihak media dimaklumkan perkara tersebut oleh peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Fauziah sementara Kadar Shah diwakili peguam syarie Sulaiman Abdullah.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik balik kes bagi diselesaikan di luar mahkamah. Kes ditutup,” kata Kamar Ainiah ringkas.

Kes ini bermula selepas Fauziah menuntut mutaah, wang edah yang berjumlah RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 sebanyak RM600,000.

Selain itu, Fauziah juga menuntut hutang sebanyak RM250,000 yang merupakan bayaran kereta seperti yang dijanjikan oleh bekas suaminya dan juga unit saham bernilai RM1.5 juta.

Fauziah juga menuntut harta sepencarian terdiri daripada kondominium di Genting Highlands, rumah di Bukit Jelutong, Shah Alam serta apartmen yang terletak di Hawaii dan Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tuntutan itu juga melibatkan tiga buah kereta mewah iaitu Mercedes Benz, Porsche dan Ferrari.

Kadar Shah yang pernah dilaporkan tidak menghadiri prosiding mahkamah kerana berada luar negara mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Meskipun perkahwinan tersebut telah lama berlaku, ia tidak dapat didaftarkan kerana ketiadaan saksi dan dokumen yang boleh dikemukakan di mahkamah.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku bahawa perkahwinan tersebut sememangnya berlaku.

Artikel Sebelum

Artikel Lain