suria

Keputusan Sama Ada Untuk Panggil TPR, Mohd Saiful Sebagai Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan petang ini sama ada untuk memanggil saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif yang terbabit dengan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan hubungan sulit mereka.

Ini berikutan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh untuk mahkamah menggunakan Seksyen 425 Kod Prosedur Jenayah untuk memanggil saksi utama itu Mohd Saiful Bukhari dan Farah Azlina untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan hubungan sulit mereka.

Dalam permohonan, Karpal memaklumkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bahawa mahkamah mempunyai budibicara untuk menggunakan seksyen itu bagi memanggil Mohd Saiful dan Farah Azlina untuk mengetahui kebenaran mengenai dakwaan hubungan sulit mereka.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa permohonannya merupakan satu permohonan yang belum pernah dibuat kerana ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan termasuk di mana-mana negara Komanwel.

Karpal juga mempersoalkan kenapa Mohd Saiful Bukhari dan Farah Azlina tidak menjawab dakwaan itu dengan memfailkan afidavit untuk menjawab afidavit Anwar mengenai dakwaan hubungan sulit, tetapi ia dibuat oleh Pendakwa Raya kanan Mohamad Hanafiah Zakaria dan pegawai penyiasat kes itu Supt Jude Blacious Pereira. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain