suria

Kementerian Kaji Cadangan Jadikan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Mata Pelajaran

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran sedia mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sebuah jawatankuasa teknikal terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pakar-pakar berkaitan masalah sosial, akan meneliti cadangan itu sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Katanya sebelum ini, program perintis PKRS dilaksanakan di lima sekolah menengah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan serta Pahang sebagai kokurikulum sekolah.

"Sama ada (PKRS) ini kekal sebagai kokurikulum atau diserapkan dalam silibus akademik (kurikulum) sedia ada, misalnya dalam mata pelajaran biologi atau sains, kita akan buat penelitian.

"Di peringkat awal ini, kita tidak dapat putuskan apa yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Peruntukan itu adalah bagi menambah baik 610 sekolah daif di seluruh negara.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Muhyiddin berkata dalam membuat keputusan mengenai status PKRS dalam pendidikan sekolah, pelbagai faktor akan diambil kira termasuk latar belakang pelajar yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama serta kandungan buku teks kerana pada masa ini tidak ada bahan mengenai PKRS.

Beliau berkata guru-guru yang akan mengajar program PKRS juga perlu dilatih supaya mereka dapat menyampaikan pembelajaran berkenaan secara berkesan.

Shahrizat pula berkata saranan supaya PKRS diserapkan sebagai mata pelajaran teras dalam pendidikan negara dibuat setelah mengambil kira isu sosial yang berkaitan dengan tingkah laku seksual dalam kalangan remaja yang kian membimbangkan.

Beliau berkata PKRS bertujuan meningkatkan pengetahuan dan sikap positif remaja terhadap kesihatan reproduktif dan sosial.

"Apa yang sedang berlaku ialah peningkatan kes-kes keganasan seksual dan hasil daripada itu, ada gadis hamil luar nikah, (kes) buang bayi dan gejala sosial lain.

"Daripada hasil penyelidikan yang kita terima, salah satu sebab ialah kerana remaja kita perlu pendidikan yang lebih mendalam mengenai isu kesihatan reproduktif dan sosial.

"Kita hendak setiap anak muda dapat pendedahan mengenai perkara ini daripada mereka mempelajarinya dari laman web lucah yang kini menjadi 'guru' mereka. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," katanya.

Mengenai peruntukan RM50 juta itu, Shahrizat berkata 119 buah sekolah daif dikenal pasti di Semenanjung melibatkan 50 sekolah rendah dan 149 sekolah menengah dengan jumlah pembiayaan keseluruhan berjumlah RM10 juta manakala bagi Sarawak ialah melibatkan 187 buah sekolah rendah dan 74 sekolah menengah yang memerlukan pembiayaan RM20 juta.

Di Sabah pula, ia merangkumi 50 sekolah rendah dan 100 sekolah menengah dengan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM20 juta.

"Peruntukan ini akan diteruskan sehingga 2012," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain