suria

Pengawal Keselamatan Ditemui Mati Di Tempat Kerja

KANGAR : Seorang pengawal keselamatan ditemui mati di tempat kerjanya di bangunan Arkeb MARA di sini dipercayai akibat serangan jantung.

Mohamad Noor Long, 51, seorang duda yang menetap di Abi Kubang Badak dipercayai meninggal dunia selepas pukul 11 malam tadi ketika sedang makan.

Ini berdasarkan keadaan nasi yang masih berada dalam mulut pengawal keselamatan itu ketika ditemui sudah tidak bernyawa oleh seorang kakitangan pejabat MARA kira-kira pukul 7.30 pagi ini yang kebetulan singgah di pejabat itu untuk satu urusan.

Seorang rakan setugas mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata kali terakhir dia bertemu Mohamad Nor kira-kira pukul 11 malam tadi.

Allahyarham yang telah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama dua tahun telah lama menghidap sakit jantung dan membuat rawatan susulan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini bulan lalu, katanya kepada pemberita.

Jenazah Mohamad Noor dihantar ke HTF untuk bedah siasat dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah antara yang menziarahi jenazahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin ketika dihubungi berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - Bernama

Artikel Lain